Permandangan Bandar Jerantut sekitar tahun 1960an
Bandar Baru Jerantut
Bandar Baru Jerantut
Bandar Inderapura Jerantut
Sebelum diisytiharkan sebagai sebuah daerah, Jerantut termasuk di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Lipis. Pada tahun 1951, Jerantut telah ditadbir dari Kuala Lipis dan dianggap sebagai satu daerah kecil (Sub. District) dan ianya ditadbir oleh seorang Penolong Pegawai Daerah (Penolong Pemungut Hasil Tanah).Manakala pada 1 Januari 1959, pemasyhuran Jerantut sebagai sebuah daerah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan pada tarikh tersebut juga seorang Pegawai Daerah dilantik untuk tujuan membantu mentadbir daerah ini. Maka pada tarikh itu bermulalah pembangunan Daerah Jerantut yang pada awalnya berpusat di bangunan lama (Rest House yang ada sekarang). Serta pusat perniagaan bermula di deretan kedai yang telah dibina di Bandar lama Jerantut seawal tahun1937. Sekitar tahun 1980an Bandar Baru Jerantut telah diwujudkan dengan prasarana baru iaitu sebuah Pasar Besar Jerantut, bangunan kedai LKNP, Stesen bas dan teksi.
Apabila menjelang tahun 1990 sebuah bangunan baru telah siap dibina bagi tujuan menggantikan bangunan lama (sebelah mahkamah). Bangunan baru itu menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut dan bangunan tersebut dikenali sebagai Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan Jerantut dan dirasmikan pada 6 Ogos 1990 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Mengimbau kembali sejarah pembinaan bangunan Pejabat Daerah Jerantut ini adalah disebabkan oleh kedudukannya yang agak berselerak antara satu sama lain dengan pejabat-pejabat kerajaan yang penting.
Kompleks Pejabat Kerajaan Jerantut
Oleh itu perancangan yang dibuat pada tahun 1979 iaitu untuk membina sebuah kompleks pentadbiran kerajaan telah mencapai kata putus dan telah diluluskan. Kompleks pentadbiran kerajaan yang baru ini telah dimulakan pembinaannya pada 4 November 1986 dan bangunan ini telah siap sepenuhnya pada 3 Julai 1989. Bangunan kompleks ini adalah setinggi dua tingkat.
Rekabentuk kompleks ini telah dicipta sendiri oleh bahagian arkitek Jabatan Kerja Raya Pahang. Ia mencerminkan senibina tempatan lantas menjadikan bangunan ini di antara kompleks pentadbiran kerajaan terawal yang dibina di Negeri Pahang. Sebagaimana yang difahamkan rekabentuk ini telah menjadi panduan asas kepada pembinaan pelbagai kompleks pentadbiran yang lain di sini di samping menjadi mercu tanda daerah ini.
Pada dasarnya pemilihan lokasi ini adalah sangat strategik disebabkan ia berhampiran dengan kawasan Bandar Jerantut yang mana ianya sudah pasti memudahkan orang awam untuk berurusan di situ.
Berikutan dengan proses ‘desentralisasi’ terdapat pelbagai Jabatan dan agensi yang beroperasi di peringkat daerah. Pejabat Daerah hanya merupakan sebuah organisasi yang terdapat di dalam daerah tersebut. Walau bagaimanapun Pejabat Daerah merupakan agensi yang terkanan sekali pada peringkat tersebut. Selaras dengan kedudukan ini Pejabat Daerah diberi tanggungjawab untuk menyelaras semua jabatan dan agensi yang ada di dalam daerah.
Oleh itu, kompleks ini telah menjadi tumpuan dan pusat kepada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan. Antara jabatan yang terdapat di dalam kompleks ini adalah seperti Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut, Jabatan Kerja Raya Daerah Jerantut dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Jerantut.
Sehingga hari ini, kompleks kerajaan yang mana telah menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut ini sentiasa membuat penambahbaikan dari segi pelbagai sudut seperti dari segi struktur fizikal dan juga dari segi kemudahan yang terdapat di dalam bangunan kompleks itu sendiri yang mana ianya sejajar dengan imej sebagai salah sebuah agensi dan jabatan yang terpenting sekali di dalam daerah ini.
Setiap negeri di negara ini dibahagikan kepada beberapa kawasan yang dinamakan sebagai Daerah. Daerah merupakan peringkat pelaksanaan bagi projek pembangunan. Sebenarnya projek-projek tersebut dirancang pada peringkat pusat, tetapi pelaksanaannya adalah di peringkat daerah. Sesebuah daerah akan ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Pegawai Daerah. Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut merupakan pejabat utama di peringkat daerah Jerantut.
Di dalam pentadbiran daerah pula dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama ialah Pentadbiran Daerah yang mana mewakili sebagai pusat pentadbiran, Pentadbiran Mukim dan akhir sekali ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Pejabat Daerah juga bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan Jawatankuasa Perancangan Daerah. Kedua-dua jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh ketua pentadbiran itu sendiri iaitu Pegawai Daerah Jerantut.
Di dalam daerah pula akan dipecahkan kepada beberapa kawasan kecil yang dikenali sebagai Mukim. Pengurusan pentadbiran di setiap mukim akan diketuai seorang kakitangan kerajaan yang diberi nama Penghulu. Tugas seorang Penghulu ini adalah membantu Pejabat Daerah dan agensi kerajaan yang lain untuk melaksanakan program pembangunan dan juga projek-projek pembangunan. Tugasnya juga melibatkan penyelarasan kerja pembangunan di peringkat kampung.
Di peringkat pentadbiran yang terendah sekali di dalam pentadbiran daerah ialah peringkat kampung. Beberapa kampung akan bergabung dan akhirnya menjadi mukim. Kampung-kampung tersebut akan diketuai oleh seseorang yang dikenali sebagai Ketua Kampung. Ketua Kampung ini dilantik oleh kerajaan negeri dan mereka hendaklah bertanggungjawab terhadap segala urusan yang terdapat di dalam kampung tersebut. Mereka biasanya bertindak melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu pentadbiran daerah dalam melaksanakan program projek pembangunan. Sumber Pelbagai & Kredit : http://pdtjerantut.pahang.gov.my
Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.