Sejarah Negeri Pahang
Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang Darul Makmur; di sebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu; sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak. Negeri Pahang Darul Makmur sekarang ini di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan.
Negeri Pahang Darul Makmur ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 kilometer persegi. Kemasyhuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya. Pada masa ini Pahang adalah negeri di Semenanjung dengan terbahagi kepada sebelas daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Manakala penduduknya pula terdiri dari berbagai kaum dan bangsa.
Asal Usul Nama Negeri Pahang
Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama.
Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng,
Pong -Fong, Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang
bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.
Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts,
seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab
dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang.
Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang
atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat
menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Tembeling.
Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang
iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu
mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu.Dari pokok
mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu.Gelaran
tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura,
disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang
dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan.Sebelum ditakluk oleh
kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.
Pemerintahan Negeri Pahang
Menurut riwayat tua pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja dari semenjak zaman dahulu kala membawa ke masa sekarang. Keturunan raja Melaka itulah yang lama sekali berkuasa di Negeri Pahang Darul Makmur dan pemerintahan daripada waktu itu memakai gelaran Sultan dan keturunan ini memerintah lebih dari 200 tahun semenjak daripada raja bernama Sultan Mahmud Shah yang masyhur di dalam Sejarah Marhum Mangkat Di julang dalam tahun 1699.
Setelah itu pemerintah Pahang pindah kepada keturunan Bendahara Tuan Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor. Dari titisan keluarga dan zuriat ini juga telah menjadikan Negeri Pahang Darul Makmur terputus dari takluk Riau dan telah menubuhkan satu pemerintahan merdeka, berkuasa penuh sebelum ini, menjalinkan persahabatan dengan Sultan hinggalah sekarang ini.
Pusat Pentadbiran Negeri Secara Ringkas
Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.
Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur.
Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Abdullah Al Mu'tasim Billah, DK., SIMP., DK., SIMP., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG. Manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.
Pahang juga mempunyai ramai pahlawan dan pendekar yang berjuang menentang penjajah di waktu sebelum kemerdekaan. Antara yang terkenal ialah Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Mat Lela, dan Pawang Nong. Pahang juga merupakan negeri melayu sejati seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu. Sumber sepenuh kreadit : https://ms.wikipedia.org/
Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.