MAIN MENU

Footer Pages

17 Feb 2015

INFO GAMBAR DAN SEJARAH HUTAN LIPUR GUNUNG SENYUM TEMERLOH PAHANG

 
 
Gunung Senyum yang terletak di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486 meter (1,594 kaki). Lokasi Gunung Senyum : Terletak di Batu Sawar 20 km dari Bandar Jengka, 40 km dari Bandar Temerloh melalui Jalan Temerloh-Jengka. Lebih kurang 46 km daripada bandar Jerantut melalui jalan Jerantut - Temerloh - Rumpun Makmur dan 149 km dari Bandar Kuantan. Hutan Lipur Gunung Senyum terletak di dalam Hutan Simpan Jengka yang merupakan jenis hutan dipterokarpa pamah. Hutan Lipur Gunung Senyum terletak di daerah Kuala Krau, Temerloh, Pahang.

Gunung Senyum mempunyai hutan dipterokarp bukit. Terdapat banyak flora atau tumbuhan herba di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Bagaimanapun, masih ramai tidak mengetahui kisah benar di sebalik kewujudan Gunung Senyum yang memiliki 25 gua dengan pelbagai nama unik dan klasik. Antara gua menarik di sini ialah Gua Terang Bulan Gua Kelam dan Gua Jebak Puyuh. Terdapat juga gua-gua yang masih mengalami proses pertumbuhan stalagtait dan stalagmait. Gua-gua di sini dibawah jagaan PERHILITAN.

Antara gua yang menjadi pilihan pengunjung ialah Gua Tapa, Gua Gudang Kelawar, Gua Kolam Tujuh, Gua Batu Merlap, Gua Kambing, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Gong dan Gua Danau Impian.Selain itu terdapat juga Gua Mayat, Gua Rangkak, Gua Sisik dan Gua Ular. Gua Kolam dipercayai menjadi tempat bersiram seorang puteri bunian suatu ketika dulu. Gua Nesan menyimpan 19 pasang batu nesan di dalamnya. Gua Merlap dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Orang Bunian malah penduduk turut mendakwa mengenai kehadiran batu bersinar yang tergantung di dalam gua itu.

Sejarah Gunung Senyum
Terdapat beberapa versi mengenai asal-usul nama Gunung Senyum ini. Antaranya, dikatakan semasa Sultan Pahang sampai di kaki gunung tersebut, baginda bertanya tentang nama gunung itu kepada para pembesar yang mengiringi baginda. Namun, tidak ada seorangpun yang tahu mengenainya sebaliknya para pembesar tersebut hanya mampu tersenyum. Bagi mengelak rasa malu dengan Orang Besar Pahang yang ada bersamanya, baginda menamakannya Gunung Senyum kerana gelagat pegawai istananya yang asyik tersenyum.

Antara legenda paling terkenal di Gunung Senyum ialah mengenai kisah Tok Long iaitu seorang lelaki berhati mulia, Tok Long yang dikatakan pernah mengahwini gadis bunian di kawasan gunung ini. Akibat melanggar janji, Tok Long gagal menemui kembali isterinya di alam bunian menyebabkannya mengambil keputusan bertafakur di situ sehingga meninggal dunia. Kubur di Gua Makam Tok Long dikatakan bukti kisah lama yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Gunung Senyum terletak berhampiran Sungai Pahang dan boleh didatangi melalui jalan darat daripada Temerloh atau Jerantut. Jika melalui pekan Kuala Krau, pengunjung perlu menyeberangi Sungai Pahang menggunakan perkhidmatan bot yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Dari kajian arkeologi, hutan lipur ini dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia Zaman Mesolitik.

Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) negeri Pahang telah menjadikan puncak gunung Senyum sebagai pusat origin koordinat bagi negeri ini kerana terletak di tengah negeri Pahang. Sumber : ms.wikipedia.org

AAP - Hari ini selasa 17.02.2015 penulis telah dapat hadir kesini dan sempat mengambil gambar dan melihat panorama indah dan menarik di Gunung Senyum ini. Gambar berkaitan sekadar dijadikan perkongsian bersama.
 
Wassalam, Wa'allahhualam.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.