MAIN MENU

Footer Pages

4 Feb 2015

RUMAH TRADISI PAHANG PENINGGALAN PENGHULU KELOLA MENJADI KOLEKSI MUZIUM WARISAN MELAYU UPM.

Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kerja-kerja pemindahan rumah melayu lama Pahang yang dibina pada tahun 1924 milik bekas Penghulu Mukim Kelola, Pulau Tawar, Jerantut. Rumah tersebut akan didirikan semula dalam bentuk asal di Muzium Warisan Melayu UPM

Rumah Tradisi Pahang Jadi Sebahagian Koleksi Muzium Warisan Melayu UPM JERANTUT.
Rumah tradisi Pahang peninggalan penghulu Mukim Kelola di sini yang berusia 91 tahun akan menjadi sebahagian daripada koleksi Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengarah muzium Dr Muhammad Pauzi Abd Latiff berkata pemilihan rumah kepunyaan Ismail Khatib Bakar itu dibuat berdasarkan keunikan seni binanya yang didirikan tanpa menggunakan paku, sebaliknya dipasak.


Faktor lain yang dipertimbangkan ialah ketahanan rumah yang dibina menggunakan teras kayu cengal dan merbau, yang merupakan antara kayu paling kukuh menyebabkan ia tidak rosak atau dimakan anai-anai, kata beliau.

"Saya bersyukur kerana 'berjumpa' rumah ini dan mendapat persetujuan warisnya Zaharah Ismail, anak bongsu penghulu untuk menyerahkan rumah kepada UPM bagi tujuan pemuliharaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemindahan Rumah Tradisional Melayu Pahang di Kampung Kelola di sini, Rabu.

Muhammad Pauzi berkata projek pemindahan rumah itu pada asalnya dijadual pada 24 Dis lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana rumah yang terletak kira-kira 70 meter daripada Sungai Pahang itu terlibat dalam banjir besar baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa kagum dengan ketahanan rumah itu yang tidak rosak atau beralih kedudukan meskipun 'diuji' dengan tiga kali banjir besar di Pahang iaitu pada tahun 1926, 1971 dan 2014.

"Kisah itu merupakan nilai tambah kepada rumah ini. Waris rumah juga bermurah hati memberi perahu jalur berukuran 30 kaki yang dihasilkan daripada sebatang balak yang ditebuk dan pendayung berukuran sembilan kaki untuk dipamerkan bersama-sama rumah itu," kata Muhammad Pauzi.

Katanya proses pemindahan rumah itu akan mengambil masa lima hari kerana ia dimulakan dengan kerja-kerja penandaan, sebelum boleh dibuka bermula daripada bahagian zink dan tulang bumbung dengan proses memasang semula dijangka mengambil masa dua bulan kerana ia merupakan rumah tradisi paling besar di muzium itu.

Selain rumah tradisi Pahang, muzium itu juga menempatkan rumah tradisi Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak dan dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April atau Mei depan.

Sementara itu, Zaharah, 69, berkata beliau bangga apabila rumah yang dihuninya sejak lahir sehingga mempunyai dua orang anak diberikan penghargaan untuk menjadi tarikan pelancong dan rujukan pengkaji seni bina Melayu.

"Kali terakhir kami tinggal di situ adalah pada tahun 1989. Walaupun kosong, kami masih datang 'menjenguk' rumah setiap hari kerana banyak pokok buah-buahan di sekitar rumah.

"Apabila dengar ada yang berminat hendak memulihara rumah ini, mak cik terus bersetuju. Bimbang juga jika berlaku banjir besar di masa hadapan, rumah ini tidak boleh bertahan dan rosak," katanya. Sumber - BERNAMA

Saksikan Video : RUMAH TRADISIONAL BERUSIA 90 TAHUN DI JERANTUT DIBAIKPULIH [17Hb. Feb 2015]

Update : Terkini rumah tradisional Melayu, milik Penghulu Kelola yang dipindahkan ke Serdang, Selangor. Foto ehsan: Abd Salam Awang  Entri berkaitan : RUMAH KLASIK TRADISIONAL PAHANG | RUMAH SERAMBI PAHANG

Wassalam, Wa'allahhualam.

 

8 ulasan:

  1. eloklah rumah lama macam ni dibaikpulih supaya jadi warisan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

    BalasPadam
  2. Dah siap pasang ke di UPM, saya staff UPM, bolehlah melawat

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terbaik tuan, insya allah ada kelapangan kami datang.....

      Padam
    2. Terbuka kepada semua pelawat

      Padam
  3. Umah ni asal lokasi jerantut feri kan..jln pedah.cm umah sedara sbb kalo xslap

    BalasPadam
  4. Umah ni kalo x silap lokasi asal jerantut feri..dekat umah sedara mara kamii.je..nma mak cik sepiah.jln pedah.mmg klasik uma nii

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maaf...rumah ini di kg kelola...kepunyaan Penghulu Hj Ismail bin Khatib Bakar...saya cucu Hj Ismail 😀

      Padam
  5. Umah ni asal lokasi jerantut feri kan..jln pedah.cm umah sedara sbb kalo xslap

    BalasPadam

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.