MAIN MENU

Footer Pages

3 Okt 2014

PROJEK IKAN STURGEON - TIDAK DIHALANG CUMA TIDAK SESUAI DI KUALA TAHAN

Ahmad Nazlan (kanan) mendengar penerangan Abdul Jalil sewaktu meninjau tapak projek ikan sturgeon di Sungai Tabung, Kuala Tahan kelmarin.

JERANTUT – Penduduk tidak pernah menghalang projek penternakan ikan sturgeon tetapi lokasi ternakan itu yang menjadi kemarahan penduduk di Kuala Tahan.

Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris berkata, kebanyakan penduduk tidak mahu zon penampan Taman Negara itu dibangunkan dengan projek tertentu kerana mereka bimbang akan menjejaskan alam sekitar sekiranya projek tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Projek sturgeon di Sungai Tabung, Kuala Tahan tidak menjalani kajian penilaian kesan alam sekitar terperinci (DEIA) dan hanya dihentikan sementara waktu selepas di bantah penduduk,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Taman Negara, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, pelancong tidak akan datang lagi ke Taman Negara sekiranya projek sturgeon mengganggu eko-pelancongan yang ada di situ.

“Kami tidak halang projek ternakan ikan sturgeon ini tetapi biarlah ia dibuat di tempat lain yang jauh dari zon penampan Taman Negara kerana di sini adalah sumber pendapatan penduduk melalui eko-pelancongan yang ada.

“Ikan sturgeon adalah produk luar yang dibawa masuk dan itu bukan definisi eko-pelancongan, kerajaan juga sedang dalam proses memohon untuk menjadikan Taman Negara sebagai tapak warisan dunia, sekiranya salah satu dari elemen yang diperlukan tidak ada maka sudah tentu permohonan itu dikategorikan tidak layak,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Profesor Dr. Maketab Mohamed berkata, kenapa tidak dibangunkan ternakan ikan sturgeon di kawasan tanah milik syarikat pemaju?

Menurutnya, masih banyak kawasan milik syarikat terbabit di Kota Gelanggi contohnya yang berpotensi dimajukan dengan ternakan ikan sturgeon, kenapa pilih Kuala Tahan?

“Penduduk tidak halang projek ikan sturgeon, mereka mahu projek itu tidak dibangunkan di kawasan itu,” katanya. Sumber Sinar Harian Pahang.

Wassalam, Wa'allahhualam.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.