SEBAB MENYIMPAN JANGGUT?
Soalan:
Saya musykil dengan suatu perkara. Betulkah lelaki wajib menyimpan janggut? dan sejauh manakah hukumnya?
Jawapan:
Ada Ulama yang berpendapat bahawa hukum menyimpan janggut adalah sunat dan ada yang mengatakan, ia adalah wajib.
Tetapi, pendapat yang paling jelas ialah wajib. Ini kerana, terdapat dalil sahih daripada Rasulullah s.a.w. Antaranya,
Daripada Ibn Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Bezakanlah (jangan menyamai) perbuatan orang-orang musyrik, lepaskan
(simpan) janggut kamu dan nipiskan misai kamu.”- Hadis riwayat Muslim
dan al-Bukhari.
Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyekutukan ALLAH membiarkan misai
mereka dan mencukur janggut mereka, maka lakukanlah perbezaan daripada
mereka dengan memanjangkan janggut dan menipiskan misai.” - Hadis
riwayat al-Bazzar dengan sanad yang sahih.
Jadi, anda
dinasihatkan supaya mengikut apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah
s.a.w. Hukum menyimpan janggut adalah wajib bagi lelaki. Tetapi,
terdapat ulama yang menyatakan sunat. Dengan alasan, ia hanya perbuatan
Rasulullah s.a.w.
Hujah ini tidak jelas kerana terdapat dalil
yang banyak daripada hadis Rasulullah s.a.w yang menyamakan seseorang
Muslim yang tidak menyimpan janggut dengan suatu kaum yang lain.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak menyimpan janggut. Oleh itu, anda
tidak boleh menyerupai mereka. Ini salah satu daripada tatacara
kehidupan mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah daripada kalangan mereka.”- Hadis riwayat Ahmad.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Bukanlah daripada umatku seseorang yang lain daripada kami. Oleh itu,
janganlah kamu mengikut Yahudi dan Nasrani.”- Hadis riwayat al-Tirmizi.
Ibn Taimiyyah berkata:
“Haram jika memotong janggut (mencukur janggut). Terdapat dalil
daripada al-Quran, Sunnah dan ijmak mengenai larangan meniru gaya
orang-orang kafir. Meniru gaya hidup dan akhlak mereka adalah satu
perkara yang keji dan termasuk dalam akidah seseorang itu. ”
Imam Ibn Abdul Bar dalam Kitab al-Tamhid:
“Haram mencukur janggut. Jangan lakukannya kecuali Khunsa (yang mempunyai dua kemaluan) daripada lelaki.”
Seseorang yang mencukur janggut seolah-olah meniru gaya perempuan.
Inilah yang membezakan antara lelaki dan perempuan. Menyimpan janggut
adalah syiar Islam. Ia adalah akhlak para nabi dan orang-orang yang
soleh.
Ia adalah salah satu kemuliaan dan penghargaan kepada
lelaki. Rasulullah s.a.w amat mengalakkan seseorang Muslim menyimpan
janggut. Rasulullah s.a.w tidak perintahkan umatnya melakukan sesuatu
kecuali ada hikmahnya dan kena pada tempatnya. Hanya ALLAH dan
Rasulullah s.a.w sahaja yang tahu segala-galanya.
Sebagai
seorang Muslim, kita tidak digalakkan menyoal atau menafikan sesuatu
yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Ingatlah, setiap apa yang
disampaikan oleh Rasulullah s.a.w adalah perintah dari ALLAH. Perintah
ini bersifat Tauqifi, iaitu sesuatu yang perlu diterima tanpa
mempersoalkannya.
Cuba anda teliti kisah-kisah Rasulullah s.a.w
dan para sahabat. Terlalu mudah untuk kita praktikan dalam hidup. Tidak
ada yang menyusahkan diri jika kita terima sesuatu yang disampaikan itu
menetapi apa yang ALLAH dan Rasulullah s.a.w tetapkan.
Oleh
itu, bertakwalah mengikut kemampuan anda. Menyimpan janggut adalah
sunnah Rasulullah s.a.w yang membawa kepada hukum yang wajib. Ikutilah
sunnah baginda, anda akan bahagia di dunia dan akhirat. Sumber : Facebook
AAP- Moralnya orang lelaki muslim kenalah berjanggut kerana ianya sunnah, dapat pahala jika melaksanakannya. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan lelaki yang berjanggut dan menjaganya janggutnya dengan kemas dan rapi dapat menambah kesegakan dan kelakian anda dengan cara tersendirinya.
Wassalam, Wa'allahhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.