Jom layan lagu ini : Ayah dan Ibu.
Didalam Agama Islam dan adat budaya Melayu kita begitu banyak sekali saranan, gesaan dan amalan yang sepatutnya yang wajib kita buat sebagai anak untuk membalas kasih sayang, menghormati dan mentaati ibu bapa kita. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan oleh Ibu bapa kita. Semestinya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang Ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar Ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat. Firman Allah bermaksud: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Isra, ayat 24)
Ibu bapa kadangkala memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.Memenuhi permintaan Ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan Ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya. Malah, keutamaan berbakti kepada Ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: “Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Apakah perbuatan disukai oleh Allah?”Lalu Baginda bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” Kemudian apa?” tanya saya lagi. Baginda menjawab: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Saya bertanya: “Apa lagi.” Jawab Baginda: “Berjihad pada jalan Allah.”
Agak malang bagi kita jika yang masih mempunyai ibu bapa tetapi menderhaka kepadanya. Didalam soal ini tidak mengambil perhatian atau mengambil kisah ibu bapanya juga sudah besar dosanya. Apatah lagi jika menjadi anak yang derhaka kepada Ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Barang sesiapa yang derhaka kepada Ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: “Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.”
Bersempena Aidilfitri yang mulia ini marilah kita gunakan kesempatan yang masih ada untuk berbakti kepada Ibu bapa. Percayalah untuk mendapat keredaan Yang Maha Esa, keredaan Ibu bapa adalah merupakan kuncinya...Sesungguh jika kita lupa kepada ibu bapa kita dan mengabaikan mereka bukan barang mustahil disuatu hari kelak anak-anak yang menjadi kebanggan kita di hari ini... kelak akan mengabaikan kita jua (mungkin itu balasan yang setimpal buat kita kerana dihari ini kita mengabaikan mereka) Harta benda dan anak-pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. [Al-Khaf, 18:46]
Bersyukurlah jika kita masih mempunyai ibu bapa. Alfatihah buat Ayahanda tersayang Haji Sulaiman Bin Muhammad. Semoga rohnya mendapat keredaannya jua. Serta ku panjatkan doa semoga ibu tersayang terus dirahmati dan muliakankan oleh mu ya Allah ....Amin. Selamat hari raya maaf zahir dan batin.
Wassalam. Wa'allahhualam. Salam hormat daripada Pengarang,
salam,
BalasPadamseharusnya kita memuliakan dan mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita khususnya bagi anak lelaki kerana tanggung jawabnya adalah lebih besar untuk memastikan kebajikan ibu bapanya..
alfatihah untuk arwah bapa saudara jua..
Pejejak maya - Begitulah hendaknya tanggujawab kita sebagai anak lelaki.
BalasPadam