Nuffnang dan No Copy Paste

DAPATKAN INFO PERCUMA DARIPADA PENAJA KLIK IKLAN

UPDATE ENTRI TERKINI :

13 Sep 2014

TOKOH BUDAYA PAHANG : BIODATA DATO' ARIPIN SAID

DATO' ARIPIN SAID (Aripin bin Said)

Lahir 11 Disember 1948, di Kampung Batu Bor, Mukim Bera, Temerloh, Pahang. Di alamat 25, Jalan 1/4, Kembangsari, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

ARIPIN SAID, penulis sastera kreatif yang juga terkenal dengan cerita dan lagu-lagu rakyatnya. Beliau membuat penyelidikan mengenai budaya tradisional sekali gus menulis dan menyanyikan lagu-lagu tradisi tersebut.

Aripin menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bohor dan Sekolah Kebangsaan Kuala Bera, Pahang. Pendidikan menengahnya pula di Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh. Beliau memasuki Maktab Perguruan Kuantan pada sesi 1967/1969. Setelah keluar dari maktab pada tahun 1969, Aripin mengajar di beberapa buah sekolah di Terengganu dan Pahang. Jawatan terakhirnya dalam bidang perguruan ialah sebagai Guru Besar di Sekolah Triang, Pahang. Pada sesi pengajian 1976/1977, beliau mengikuti Kursus Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Pada tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Aripin memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan pada tahun 1986 dalam bidang Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Kecintaan Aripin Said terhadap arena penulisan bermula sewaktu di sekolah menengah lagi. Beliau menjadi editor majalah Sekolah Menengah Abu Bakar sejak dalam tingkatan empat. Minatnya ini semakin mendapat asuhan ketika beliau berada di Maktab Perguruan Kuantan. Beliau pernah memenangi pelbagai peraduan mengarang semasa di maktab ini di samping mula menulis untuk akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Bersekolah pada tahun-tahun 1960-an memang sukar untuk mendapat bahan-bahan bacaan. Namun bagi Aripin Said, gurunya, Abdullah Hashim Haji Musa selalu meminjamkannya buku-buku cerita, akhbar dan majalah. Akhbar yang sampai ke sekolah di pedalaman pada waktu itu ialah Panduan Rakyat (Jawi) dan majalah Mutiara (Jawi). Ternyata budi guru ini secara tidak langsung memupuk minatnya kepada sastera sehingga berkembang ke sekolah menengah. Aripin mendapat bimbingan daripada dua orang guru yang bukan sekadar mengajar bahasa dan sastera Melayu, tetapi juga merupakan aktivis dalam bidang itu. Guru tersebut ialah Abdul Jalil Mohd. Yusof (Allahyarham) yang sering menyumbangkan rencananya di akhbar dan majalah, dan Dzulkarim Daud, seorang dramatis terkenal tanah air yang pernah bergiat dalam Kumpulan Seriwana, Singapura. Di bawah pimpinan Cikgu Dzulkarim, Kumpulan Drama Sekolah (KUSEDRA), selain mementaskan drama di sekolah, kumpulan ini juga sering membuat pementasan di sekitar Bandar Temerloh. Dari sinilah Aripin mula belajar berlakon dan menulis skrip drama.

Aripin Said dididik dan diasuh oleh neneknya, Zaleha binti Zainal Abidin, seorang bidan kampung yang terkenal di Mukim Bera. Sebagai seorang bidan, tentu sahaja Zaleha mempunyai banyak cerita, petua serta ungkapan bahasa yang menarik. Semasa kecilnya itu, Aripin Said sering mendengar neneknya bercerita.

Sehingga kini, lebih daripada 200 buah cerpen dan 200 buah puisi yang telah dihasilkannya. Karya-karyanya tersiar di pelbagai akhbar mingguan dan majalah di tanah air seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Budaya, Mastika, Sarina, Al-Islam, Kiblat, Jelita, Majalah Sukan, Pemimpin, Sistem Pelajar dan lain-lain lagi.

Beliau juga diberi ruangan khusus dalam Dewan Sastera, yang bertajuk, "Sastera Klasik" dalam Pelita Bahasa di bawah tajuk, "Peribahasa"; ruangan "Sastera dan Budaya" dalam Utusan Zaman dan "Kebijaksanaan Silam" dalam Utusan Malaysia.

Penulis yang selalu menjelajah dari kampung ke kampung ini amat senang dengan lingkungan kehidupan yang sederhana. Penulis-penulis Pahang seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Zakaria Hitam dan Ahmad Kotot (kesemuanya Allahyarham) adalah guru dunia kreatifnya, malah dianggapnya seperti bapa. Daripada tiga orang tokoh penulis besar inilah, Aripin Said banyak menimba pengalaman dan mendapat nasihat dan bimbingan.

Sepanjang kegiatan berkarya, Aripin telah memenangi beberapa hadiah sastera tanah air yang dikendalikan oleh institusi dan badan-badan tertentu. Antara hadiah yang dimenanginya ialah Hadiah Cerpen Kanak-kanak, Pustaka Kelantan pada tahun 1978; Peraduan Mengarang Cerpen Islam pada tahun 1979; Peraduan Menulis Cerita Lucu Kanak-kanak, Dewan Bahasa dan Pustaka 1983; Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1987 (puisi), 1990 (cerpen), 1991 (cerpen remaja) dan 1992 (cerpen remaja). Bukunya yang berjudul Ceritera Awang Miskin terbitan Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. memenangi Hadiah Buku Kebangsaan 1990 bagi kategori klasik remaja.

Dalam beberapa tahun terdekat, Aripin lebih dikenali dengan persembahan nyanyian lagu-lagu rakyat sambil memukul rebana dan bercerita tentang akhlak yang patut ada pada anak-anak. Persembahan bentuk ini mempunyai khalayaknya yang tersendiri. Selain membuat persembahan di Kuala Lumpur, Aripin turut mempersembahkannya di Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam; di Colombo, Hanbantota, Candy, Newrwalla, Gale di Sri Lanka; di Bandung, Jakarta, Bali, Ujung Pandang dan Medan di Indonesia; di kawasan-kawasan perumahan di Singapura hinggalah ke Leiden di Belanda; di Rochester dan London di United Kingdom hingga ke negara-negara Perancis dan Jerman.

Di tanah air, beliau menjadi anggota pelbagai pertubuhan yang ada hubungannya dengan sastera, bahasa dan budaya. Antara persatuan tersebut ialah Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP). Beliau juga menjadi anggota Persatuan Asia Diraja Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia dan Persatuan Sarjana Melayu Malaysia. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung DPMP pada tahun 1978/1979. Pada tahun 1978, beliau menjadi Setiausaha Hari Puisi Nasional yang diadakan di Kuantan. Pada tahun 1978 juga, beliau menyertai delegasi Malaysia ke Pertemuan Penyair ASEAN Pertama di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Beliau juga menghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara di Ujung Padang, Bandar Seri Begawan, Singapura dan di Kuching.

Dalam hubungannya menangani perkembangan sastera dan budaya di Negeri Pahang Darul Makmur, beliau dilantik menjadi Ahli Lembaga Muzium Negeri Pahang bermula pada tahun 1983. Beliau juga menjadi ahli jawatankuasa kesenian dan kebudayaan di negeri tersebut. Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, sempena sambutan hari keputeraan baginda pada 24 Oktober 1990, telah mengurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada Aripin Said bagi menghargai kebaktiannya dalam bidang budaya. Kini Aripin Said bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia. Beliau memberi kuliah tentang bahasa dan sastera di Fakulti Pengajian Pendidikan di universiti tersebut. KARYA Novel - Resah dalam Cinta. Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd., 1980 Novel Remaja - Anak Kampung Batu Uban. Kuala Lumpur: Pustaka Sistem Pelajaran Sdn. Bhd., 1984 - Di Tengah Ladang Menghijau. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1988 - Menongkah Gelombang. Kuala Lumpur: Pustaka Mastika, 1989 - Suara Piano Rumah Banglo. Kuala Lumpur: Pustaka Mastika, 1990. Sumber : http://dbp.gov.my/

Wassalam, Wa'allahhualam.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BLOG INFORMASI | BERITA | PENGETAHUAN | SEJARAH | TOKOH | PAHLAWAN | ADAT RESAM & KEBUDAYAAN | NUMISMATIK & MATAWANG KONGSIKAN PANDANGAN ANDA BERSAMA KAMI.

RUANG PENGIKLANAN

KLIK INFO PERCUMA DRP PENAJA IKLAN

ARKIB ENTRI AKU ANAK PAHANG DISINI :

CARIAN ARTIKEL BLOG AKU ANAK PAHANG

Loading

SEARCH GLOBAL BY GOOGLE WITH WEB

Memuatkan ...