UPDATE ENTRI TERKINI : AKU ANAK PAHANG

16 Ogo 2011

Kuantan River Cruise

Pemandangan indah bandar Kuantan semasa menyusuri sepanjang Sungai Kuantan dengan menaiki Kuantan River Cruise.
Banyak tempat menarik yang boleh dijadikan lokasi beriadah dan berekreasi di sekitar daerah ini. Antara tempat menarik di bandar ini ialah Taman Esplanade yang terletak di hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan bangunan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Kerajaan negeri menerusi MPK sentiasa melaksanakan penambahbaikan di taman itu supaya ia terus menjadi tumpuan warga bandar ini untuk beriadah.

Ia termasuklah dengan mewujudkan uptown bagi membolehkan pengunjung membeli-belah di sepanjang Sungai Kuantan selain memberi peluang kepada peniaga kecil menambah pendapatan. Apa yang lebih menarik, MPK kini berusaha menaik taraf perkhidmatan Kuantan River Cruise bagi membolehkan pengunjung menyusuri dan menikmati keindahan Sungai Kuantan.

Bagi menjayakan hasrat itu, MPK menyerahkan kepada syarikat Sentoria Themeparks and Resort Sdn. Bhd. (Sentoria Themeparks and Resort) untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memastikan operasinya ‘tidak lesu’ dan terus mendapat sambutan pelancong dari dalam dan luar negeri. Menurut Pegawai Operasi Sentoria Themeparks and Resorts, Suriyati Hashim, pihaknya kini giat menjalankan promosi selepas pengambilalihan perkhidmatan itu daripada MPK pada 15 Julai lalu bagi menaik taraf operasinya.

Beliau berkata, Kuantan River Cruise beroperasi setiap hari dan pengunjung yang mengunjungi Taman Esplanade di sini boleh menaiki bot untuk menikmati keindahan pesisiran Sungai Kuantan. “Pengunjung dapat menikmati panorama bandar Kuantan, melihat perkampungan tradisional nelayan dan mengetahui sedikit-sebanyak sejarah Sungai Kuantan melalui pemandu pelancong kami,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Suriyati memberitahu, bagi perjalanan tersebut, penumpang akan mula menaiki bot dari Jeti Shahbandar yang terletak bersebelahan Ibu Pejabat MPK dan terus dibawa ke muara Sungai Kuantan sebelum berpatah balik. Katanya, di kiri dan kanan sungai, penumpang disajikan dengan pemandangan menarik perkampungan nelayan selain bot-bot perikanan yang berlabuh di sepanjang sungai berkenaan. Selain itu, jelasnya, penumpang akan dibawa mengelilingi Taman Bakau bagi melihat keunikan hutan paya bakau yang masih terpelihara tanpa perlu memijak permukaan berlumpur kerana terdapat laluan jalan kaki kayu disediakan di kawasan itu.

“Di situ, pengunjung akan singgah sebentar selama 10 minit untuk menikmati keindahan flora dan faunanya selain merakamkan kenangan manis,” katanya. Menurut beliau, pihaknya merancang menambah beberapa lagi aktiviti untuk dipenuhi di sepanjang perjalanan menaiki ‘Kuantan River Cruise’ tersebut seperti melihat kunang-kunang di Sungai Belat dan Sungai Soi. “Mungkin selepas ini pengunjung dapat turun seketika semasa singgah di Hutan Simpan Paya Bakau bagi menikmati keindahan hutannya yang semula jadi,” ujarnya.

Suriyati memberitahu, kadar tambang yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu hanya RM18 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak bagi satu pusingan yang mengambil masa kira-kira 40 hingga 45 minit.
Tidak cukup dengan itu, tambahnya, pihaknya turut menawarkan potongan harga sebanyak 10 peratus untuk enam tiket masuk ke Taman Tema Air Bukit Gambang bagi setiap tiket Kuantan River Cruise. Kuantan River Cruise beroperasi pada setiap Isnin, Selasa dan Khamis bermula pukul 2.30 petang, 4 petang, 6.30 petang dan berakhir pukul 8 malam. Pada hari Jumaat pula, perkhidmatannya bermula pukul 11.30 pagi, 2.30 petang, 4 petang dan 6.30 petang manakala untuk sesi malam pula bermula pada pukul 8 dan 9 malam. Perkhidmatan Kuantan River Cruise ditutup pada setiap hari Rabu kecuali cuti sekolah dan cuti umum. - Sumber Utusan Malysia.

Sesuatu perkembangan yang amat menarik untuk tarikan Pelancong ke Negeri Pahang. Tahniah pada pihak MPK. Jika sekadar dijadikan perbandingan Melaka River Cruice mengenakan bayaran RM 10.00 untuk orang dewasa, sementara kanak-kanak RM 5.00 untuk satu pusingan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat dan ikhlas daripada :

8 ulasan:

  1. Pahang ni banyok ngat tempat menariknye...ye dok?

    BalasPadam
  2. opanaz - betul tu nak best lagi moh bawok... naik bot ke ulu tembeling :)

    BalasPadam
  3. doh lama koi tak ke sungei kuantan ter.. comey dah laaa

    BalasPadam
  4. uih.. maju dah kita skrg..tp kt temerloh n jerantut xde ke nak wat camt? ade bot penambang je kat cnie :)

    BalasPadam
  5. anak menakan star cruise erk hehehee

    BalasPadam
  6. salam..
    ermm..nak juga cuba
    satu hari nanti..lama
    dah tak ke Kuantan ..he he

    BalasPadam
  7. Kala same rege dengan Melaka River Cruice ter koi rase lagi ramei la yang naik....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul... kalau murah mmg ramai yang suka yak...

      Padam

PERINGATAN: Blog Aku Anak Pahang tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana komentar yang diutarakan melalui laman blog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pemilik blog. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

KLIK PERCUMA DAPATKAN INFO SELANJUTNYA.

SENARAI ENTRI TERKINI :

RUJUK ARKIB ENTRI AKU ANAK PAHANG DISINI :