MAIN MENU

Footer Pages

7 Jan 2015

PANDUAN SOLAT UNTUK PESAKIT

Sakit pada suatu sisi dilihat sebagai suatu perkara yang negatif kerana ia menimbulkan perasaan tidak selesa terhadap tubuh manusia namun ia sebenarnya merupakan ujian Allah s.w.t. terhadap hamba-hambanya. Bagi mereka yang redha dan sabar dengan ujian ini maka sakit tadi akan berubah menjadi nikmat kerana ia akan menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan dicatat sebagai suatu amalan mulia yang berhak mendapat pahala serta darjatnya disisi Allah s.w.t. akan ditingkatkan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya sahaja, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan peyakit tersebut, akan dicatatkan baginya satu kebaikan dan diangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Imam Thabarani)

Para pesakit turut diberikan kemudahan dalam menunaikan solat mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa seorang pesakit untuk berdiri ketika menunaikan solat sekiranya dia tidak mampu untuk berdiri. Solat tersebut hendaklah dilakukan menurut kemampuan dan keupayaannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Bagi yang solat secara duduk cara duduknya ialah duduk seperti semasa membaca tahiyat awal.

Namun sekiranya tidak mampu, hendaklah duduk mengikut kemampuannya. Jika tidak mampu untuk duduk maka hendaklah seseorang itu solat dalam keadaan baring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat sedangkan rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala. Jika pesakit tidak mampu untuk solat secara mengiring maka solatlah dalam keadaan baring sambil terlentang. Kakinya menghala ke arah kiblat dan kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke kiblat. Sekiranya dalam keadaan ini juga tidak mampu, solatlah secara melakukan isyarat kelopak mata ataupun solat dengan hatinya. Begitu juga dengan persoalan menghadap kiblat, sekiranya pesakit tidak berupaya untuk memposisikan diri mereka arah kiblat dan tiada orang lain yang dapat membantunya maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan menghadap ke mana sahaja.

Kesimpulanya : Apa yang dapat kita simpulkan adalah penyakit yang menimpa seseorang itu tidak pernah menggugurkan kewajipan solat selagimana pesakit tersebut masih sedar dan boleh berfikir secara waras dan solat itu tetap perlu dilaksanakan. Artikel sekadar perkongsian semoga mendapat manfaat bersama. Sumber dan selebihnya kredit : http://akob73.blogspot.com 

Wassalam, Wa'allahhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.