MAIN MENU

Footer Pages

27 Okt 2013

PAHANG KE FINAL TUNGGU PATIN TEMPOYOK BERJUMPA BUDU :)



Pahang layak ke final Piala Malaysia 2013 dengan kemenangan agregat 4-2 ke atas Sarawak selepas perlawanan separuh akhir kedua. Tahniah daripada kami kepada pasukan Tok Gajah kerana sampai ke final teruskan perjuangan aok me... kome tetap menyokong tanpa berbeloh bagi! Pastikan kemenangan Tok Gajah di Staidum Shah Alam nanti !

Dipetik drp Utusan online : Impian Pahang untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya tercapai selepas 16 tahun menanti apabila menunjukkan pintu keluar buat juara Liga Perdana, Sarawak dengan agregat 4-2 setelah seri 1-1 di Stadium Negeri, Kuching, semalam.

Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 22,000 penonton setia Bujang Senang itu, Sarawak terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-33 menerusi penyerang berbisa mereka, Bobby Gonzales tetapi jaringan super-sub, Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-73 meranapkan hajat besar skuad Ngap Sayot itu untuk melangkah ke perlawanan akhir musim ini.

Kejayaan itu akan menemukan Tok Gajah dengan jiran mereka dari Pantai Timur, Kelantan pada perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, 3 November depan.

Malah, lakaran sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali ketujuh itu dianggap sebagai hadiah terbaik kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang menyambut Hari Keputeraan ke-83 pada 24 Oktober lalu.

Namun, Sarawak sebenarnya perlu menyesali kegagalan menamatkan perlawanan selaku pemenang ekoran banyak peluang terbuka di hadapan pintu gol Pahang dipersiakan, terutama menerusi Bobby Gonzales dan Mohd. Hairol Mokhtar.

Walaupun beraksi cukup cemerlang, namun semuanya lebur buat tuan rumah sebaik sahaja Pahang berjaya menyamakan kedudukan.

Kepedihan gagal layak ke perlawanan akhir turut dirasai oleh sebahagian penyokong setia Sarawak yang merusuh sebaik sahaja tamat perlawanan sehingga menyebabkan kira-kira 100 penyokong Pahang yang hadir tidak dapat keluar ke stadium sambil diberikan keselamatan oleh pihak polis.

Penguasaan bola kira-kira 60 peratus yang memihak kepada tuan rumah memberikan hasil 12 minit sebelum babak pertama berakhir apabila bola hantaran silang Joseph Kalang Tie ke dalam kotak penalti disambar penuh bergaya oleh Bobby bagi merapatkan jurang agregat kepada 2-3.

Gol itu nyata menjadi pembakar semangat kepada anak-anak buah Robert Alberts bagi mendapatkan gol kemenangan yang bertali arus melancarkan serangan ke dalam kawasan gol Pahang, namun kecekapan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid menjadi penghalang kepada hajat Sarawak.

Kecederaan Matias Conti yang terpaksa dikeluarkan rupanya memberi hikmah tersendiri kepada Pahang apabila Fauzi atau 'Koji' yang masuk selaku pemain gantian menanduk masuk gol penyamaan Tok Gajah, hanya seminit sahaja selepas berada di dalam padang.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir itu cukup melegakan jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang memberitahu, beliau telah menyangka akan bertemu Kelantan di final, namun pasukannya bernasib baik apabila Sarawak banyak melepaskan peluang.

"Saya agak terkejut dengan cara permainan Sarawak kerana banyak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.

"Kemasukan tiga pemain gantian kami banyak membantu mengimbangi kembali rentak permainan," kata Dollah. - Utusan Online.


Wassalam, Wa'allahhualam.
 

1 ulasan:

  1. hogoh pahang hogoh
    gomo kelate gomo
    tak kisah siapa menang atau kaloh
    kerna this is panta timo....

    BalasPadam

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.