MAIN MENU

Footer Pages

3 Sep 2013

MAJALAH 3 : MISTERI DAN SIAPA SEBENAR MAT KILAU ?

Perjuangan Pahlawan Melayu, Mat Kilau menentang penjajah Inggeris di Pahang pada 1891 sudah termaktub dalam sejarah negara. Penentangan yang turut dibantu Datuk Bahaman dan Tok Gajah yang juga bapa Mat Kilau sendiri itu akhirnya tidak dapat merungkai ke manakah menghilangnya jasad Mat Kilau apabila pelbagai pihak tidak dapat memastikan tahun bilakah beliau meninggal dunia dan di manakah kubur sebenarnya.

Namun kemunculan seorang lelaki tua yang mendakwa dirinya Mat Kilau pada 26 Disember 1969 menggemparkan negara disebabkan laporan yang diketahui menyatakan Mat Kilau sudah lama meninggal dunia akibat dibunuh tentera Siam.

Pelbagai persoalan dan konflik menerjah pemikiran masyarakat ketika itu yang mempersoalkan kematian Mat Kilau sehinggalah pada 8 Januari 1970 kerajaan negeri Pahang mewujudkan sebuah jawatankuasa menyiasat kemunculan semula Mat Kilau.

Rentetan itu, bagi mengimbas semula perjuangannya di samping memberi peluang kepada penonton dan masyarakat untuk membuat penilaian sendiri terhadap kisah Mat Kilau, sempena Hari Kemerdekaan ke-56 ini, Majalah 3 edisi istimewa bakal menayangkan kisah Mat Kilau: Sumpah Bahadur di TV3 jam 9 malam ini.

Memilih Mat Kilau sebagai ikon, wartawan yang juga penerbit untuk edisi ini, Nurul Fariha On berkata, Mat Kilau adalah seorang pejuang muda yang harus dijadikan contoh oleh generasi sekarang.

Lebih dua tahun membuat kajian sebelum menyiarkannya kepada penonton, wanita yang mesra dengan panggilan Fariha ini mengakui sedikit tertekan pada awal menyiapkan projek ini apatah lagi dia bukanlah seorang yang meminati sejarah.

“Sesuatu yang sukar apabila kita perlu menyiapkan projek yang berkaitan dengan sejarah pahlawan negara. Banyak tarikh dan fakta yang perlu saya ambil kira malah apa juga maklumat yang diperoleh saya akan masukkan di dalam projek ini kerana banyak kisah yang masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya sehingga membuatkan cerita Mat Kilau ini sangat misteri.

“Namun begitu, apa yang saya titik beratkan di sini ialah perjuangan yang dilakukan oleh Mat Kilau dalam menentang penjajah British serta semangatnya melawan mereka walaupun ketika itu usianya masih muda.

“Saya mahu menerapkan sikap dan semangat perjuangan yang perlu dikekalkan oleh generasi kini dan sikap itu saya lihat ada dalam diri Mat Kilau. Atas sebab itu saya memilih beliau sempena edisi istimewa Hari Merdeka ini,” katanya.

Dalam menyiapkan tugasan itu, Fariha turut merujuk kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Muzium Terengganu, Muzium Polis dan Muzium Tentera selain banyak bertemu dengan orang-orang yang pernah dan ada kaitan dengan kehidupan Mat Kilau.

“Pelbagai usaha dilakukan dan saya yakin mereka di luar sana juga tahu kehidupan Mat Kilau penuh misteri malah kubur sebenarnya juga tidak dapat dipastikan di mana. Selama kajian saya ada yang mengatakan ia terletak di Pahang dan ada juga di Thailand selepas beliau dibunuh tentera Siam,” katanya.

Fariha berkata, projek Mat Kilau: Sumpah Bahadur penuh dengan cabaran namun dia mahu penonton lebih fokus terhadap perjuangan yang beliau lakukan dalam mempertahankan negara daripada terus dijajah bangsa asing.

“Soal bilakah beliau lahir, meninggal dunia dan di manakah makam beliau yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini biarlah masing-masing yang menilaikannya,” katanya. Sumber : Harian Metro

Pengisytiharan Mat Siam sebagai Mat Kilau dibuat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Tan Sri Hj. Yahaya bin Mohd. Seth pada 6 Ogos 1970..

AAP - Ada pihak yang masih ragu dan sangsi tentang kewujudan Mat Kilau dan tidak yakin bahawasanya beliau adalah sebenarnya Mat Kilau. Bagi Penulis mudah sahaja bukanlah calang-calang orang yang berani dan bertanggugjawab serta berani mengakui dirinya adalah Mat Kilau. Sedang ianya telah disahkan sebagai Mat Kilau oleh saudara mara dan sahabatnya dan tidak terkecuali kerajaan Pahang sendiri.

Justeru kemunculan seorang lelaki yang mengaku bahwa dirinya adalah Mat Kilau Pahlawan Melayu Pahang pada 27 Disember 1969 telah menggemparkan negara. Satu Jawatankuasa Menyiasat Munculnya Mat Kilau telah ditubuhkan bagi melakukan penyisatan terperinci terhadap dakwaan tersebut. Berdasarkan penyiasatan tersebut, jawatankuasa akhirnya membuat kesimpulan bahawa beliau adalah Mat Kilau yang sebenarnya. Pengisytiharan Mat Siam sebagai Mat Kilau dibuat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Tan Sri Hj. Yahaya bin Mohd. Seth pada 6 Ogos 1970. Persoalanya siapa mereka jika masih ragu dan sangsi dengan kemunculan Mat Kilau ini? adakah mereka menyiasat lebih daripada jawatankuasa ini?

Alfatihah buat Pahlawan Mat Kilau...

Wassalam, Wa'allahhualam.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.