MAIN MENU

Footer Pages

22 Sep 2013

INFO SEJARAH DAN KONSPIRASI GUNUNG TAHAN TEMBELING PAHANG

Pembesar Melayu mensabotaj penjelajah Inggeris yang ingin merampas hasi bumi berpakat dengan penunjuk arah untuk memutarbelitkan laluan ke puncak gunung tahan.

BERDASARKAN kajian sejarah seperti yang tertulis dalam jurnal oleh Skinner (1878), rakyat Eropah pertama mengetahui kewujudan Gunung Tahan ialah penjelajah Russia, Baron Von Mikluho-Maclay pada 1875.

Beliau dikatakan mengesan gunung itu dari jarak Kampung Penghulu Gedong, Kelantan. Gunung Tahan juga dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai Gunung Rotan, Gunung Ulu Tanum dan Gunung Siam.

Gunung Tahan juga dipercayai mendapat namanya selepas dikategorikan sebagai satu kawasan larangan (Forbidden) atau 'tahan dari datang atau didekati'. Larangan ini tidak dapat dipastikan alasannya tetapi kemungkinan untuk menjaga semangat gunung. Alasan yang tersirat mungkin untuk menjaga khazanah alam di kawasan itu agar terus terjaga. Sejak akhir abad ke 19, banyak ekspedisi dijalankan untuk menjelajah dan meneroka puncak gunung ini serta membabitkan kumpulan diketuai rakyat Inggeris dengan bantuan penduduk tempatan.

Menariknya, walaupun banyak ekspedisi diketuai penjelajah Inggeris dilakukan, semua ekspedisi itu gagal untuk sampai ke puncak gunung terbabit, malah ada kalanya mereka masih menggunakan laluan sama dengan kumpulan terdahulu. Di sinilah timbulnya andaian akan peranan pembesar Melayu ketika itu dalam menghalang ekspedisi meneroka hasil alam semula jadi di negara tercinta sehingga timbul cerita kemungkinan mereka mensabotaj bagi mengelak hasil bumi dikaut penjajah.

Secara logiknya, penduduk tempatan yang tinggal di kawasan itu tidak menghadapi masalah kerana ia adalah kawasan mainan mereka, tempat berburu serta mencari rezeki hutan. Menurut kajian awal yang dijalankan pensyarah Jabatan Pengurusan Hutan (Perniagaan Rekreasi dan Pemasaran), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azlizam Aziz, walaupun tidak mempunyai bukti dalam bentuk catatan mengenai andaian sabotaj itu, beliau percaya ia berlaku.

Hujahnya mudah, pembesar Melayu ketika ini memang orang yang cukup berpengaruh dan rakyat sememangnya taat setia kepada Sultan dan pembesar. Apa saja perintah dan arahan mesti dipatuhi. Rakyat yang enggan berbuat demikian akan dianggap menderhaka.

Dalam kajian, sejarah pembukaan trek ke puncak Gunung Tahan, beberapa nama individu pernah dicatatkan dan mereka mempunyai peranan dan pengaruh yang cukup besar menentukan hala tuju ekspedisi ditaja penjelajah Inggeris. Bermula dengan ekspedisi arahan Sultan Ahmad pada 1881 bertujuan mencari harta karun di puncak gunung kononnya terdapat tempayan mengandungi 'ibu emas' dan 'ibu perak', ia diikuti beberapa ekspedisi lain diketuai penjelajah Inggeris.

 PANGLIMA Kakap Hussein, Penghulu Kuala Tembeling di Kuala Tahan.

Sepanjang tempoh itu hingga 1905 yang membawa kepada penemuan puncak Gunung Tahan, beberapa nama penduduk tempatan pernah dicatatkan antaranya Panglima Garang Yusuf, Penghulu Bakar, Panglima Kakap Husin, Datuk Tok Muntri Idin, Dolah dan Mat Akib, Bulang, Mat Aris, Che Nik dan Mu'min, Mat Leher dan Mat Rifin, Yusuf Sukiman (penunjuk arah), Orang Dayak/Borneo Man atau penjejak Iban.

Bagaimanapun, Panglima Kakap Husin mempunyai pengaruh kuat dan popular manakala pada peringkat pelaksana arahan (bawahan) membabitkan empat orang iaitu Bulang, Mat Aris, Che Nik dan Mu'min yang mencatat sejarah sebagai kumpulan pertama menjejak kaki ke puncak Tahan.

Dr Azlizam berkata, beliau percaya ketika itu sudah wujud tanggapan kuat bahawa segala harta bumi di tanah air sendiri perlu dijaga, jangan sekali-kali serahkan kepada 'Orang Putih'. Kemungkinan besar Pembesar Melayu ketika itu cuba menyelamatkan kawasan mereka, dengan cara menyukarkan penjelajah Inggeris daripada masuk ke kawasan 'larangan'. Mungkin mereka yang memberi arahan kepada penunjuk arah supaya 'jangan beri Orang Putih sampai ke puncak'.

"Itu andaian kita, tak direkodkan dan tiada bukti tetapi logiknya boleh terjadi. Banyak yang kena kaji, yang bertulis dan lisan. Pembesar dulu memang bijak, mereka 'tipu' penjelajah Inggeris dengan berpakat bersama penunjuk arah supaya memutar belit laluan. Kebanyakan ekspedisi gagal di kawasan sama iaitu di Teku Gorge," katanya.

Panglima Kakap Husin yang juga Penghulu Hulu Tembeling dikatakan sering didatangi kumpulan ekspedisi yang memintanya menyediakan bantuan peralatan, makanan, penunjuk arah, pembantu terdiri daripada penduduk tempatan.

Ekspedisi paling menarik seperti yang pernah dicatatkan ialah Ekspedisi Robinson pada 1905. Dalam ekspedisi itu, Robinson tidak merekodkan siapa yang pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Tahan, beliau cuma mengatakan empat pembantu mereka berbangsa Melayu secara bersama tiba di puncak Tahan pada jam 10.15 pagi pada 16 Julai 1905. Mereka ialah Che Nik, Mu'min, Mat Aris dan Bulang yang memainkan penting dalam ekspedisi itu yang dikatakan terlalu sukar selama dua bulan untuk sampai ke puncak. Robinson menggambarkan empat sekawan itu sebagai orang yang sangat periang, sentiasa menganggap setiap masalah atau cabaran itu suatu yang mudah untuk diselesaikan - itulah rahsia kejayaan mereka mengharungi ekspedisi yang panjang.

Ekspedisi Robinson bermula di Kuala Tembeling pada pagi 17 Mei dengan menaiki bot menuju ke Kuala Tahan dan mereka bergerak melalui Sungai Tahan menuju ke Kuala Teku dengan menaiki 14 sampan yang mengambil masa empat hari untuk sampai. Kumpulan itu terdiri daripada 65 orang membawa bekalan makanan seperti 15 beg beras seberat 25 kilogram setiap satu, ikan masin dan ayam hidup. Mereka menggunakan bakul diperbuat daripada rotan dan daun palma yang besar. Pelbagai masalah timbul menyebabkan ramai peserta menarik diri kerana tidak sanggup, ada mendakwa disampuk 'penghuni' hutan dan ada yang mendakwa tidak dibayar gaji.

Pada minggu pertama Jun 1905, kumpulan itu mendaki sepanjang permatang tidak bertanda dikenali sebelum tiba di 'Bukit Pemerhatian'. Di situ, mereka melihat dua bukit di depan sebuah padang yang sangat luas. Kedua-dua bukit itu dinamakan Gunung Tangga Lima Belas dan Gunung Reskit. Pada 7 Jun, dua penunjuk arah, penduduk tempatan berbangsa Melayu, memacakkan bendera di Gunung Gedong yang berada pada tiga kilometer dari Bukit Pemerhatian tadi. Pada 16 Julai 1905, Che Nik, Mu'min, Mat Aris dan Bulang mencacat sejarah apabila berjaya membawa kumpulan ekspedisi itu ke puncak. Walaupun Robinson berahsia siapa yang paling awal sampai, beliau merekodkan bahawa mereka sampai secara bersama.

Catatan beberapa ekspedisi menawan puncak Gunung Tahan (berdasarkan kajian penyelidik UPM) :

  •  1875 - Rakyat Eropah pertama mengetahui kewujudan Gunung Tahan ialah penjelajah Russia, Baron Von Mikluho-Maclay yang mengesan dari jarak Kampung Penghulu Gedong, Kelantan. Beliau melihat sebuah gunung yang menakjubkan (Skinner, 1878).

  •  1880 - Terdapat dua ekspedisi awal yang dihantar oleh Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad bertujuan mencari Batu Hikmat yang dipercayai terletak di puncak. Kisah hikayat Orang Asli mendakwa ada monyet sebesar badak sumbu menjaga dua kendi mengandungi ibu emas dan ibu perak. Satu percubaan pergi ke kawasan itu melalui Teko Gorge sepanjang 1,000 meter kerana laluan itu dianggap paling mudah ke puncak, tetapi kedua-dua ekspedisi gagal kerana tebing tinggi dan curam.

  •  1884 - Residen Perak, F A Swettenham dalam lawatannya ke Kuala Kangsar pernah menggunakan teropong besar dan melaporkan telah melihat sebuah gunung yang tinggi di kawasan pedalaman Tanah Melayu.

  •  1893 - H M Becher, seorang lagi individu yang dikatakan sedang memeriksa daerah itu memutuskan untuk berkhemah di atas sebuah pulau (beting pasir) yang terletak di tengah sungai Tahan. Becher mengabaikan nasihat penduduk tempatan yang mengatakan kawasan itu tidak selamat kerana sering dinaiki air. Ketika air pasang, beliau hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sampan yang dinaikinya karam.

  •  1890 - Ekspedisi diketuai H N Ridley hanya mampu melepasi beberapa kilometer ke hulu Kuala Tahan.

  •  1989 - W W Skeat adalah orang pertama yang berjaya menerokai lebih jauh dari kawasan tanah pamah. Kumpulan ekspedisi ini menanam benih durian dan rambutan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Tahan serta terserempak dengan seekor badak. Beliau mendaki ke tempat yang kini dikenali sebagai Gunung Pankin (ketinggian 1,463 meter) dan memacak bendera menggunakan kain batik dipercayai milik seorang peserta ekspedisi.

  •  1902 - Seorang ahli alam semula jadi, Waterstad mengetuai ekspedisi yang mengisytiharkan bahawa beliau sampai ke Banjaran Tahan, namun keterangannya amat berbeza dengan keadaan sebenar di kawasan berkenaan.

  •  1905 - Ekspedisi Robinson, mereka memulakan perjalanan dengan menaiki bot pada pagi 17 Mei 1905 ke Kuala Tembeling menuju ke Kuala Tahan. Empat pembantu Robinson berbangsa Melayu iaitu Che Nik, Mumin, Mat Aris dan Bulang adalah orang pertama tiba di puncak Gunung Tahan pada jam 10.15 pagi 16 Julai 1905, iaitu selepas dua bulan mendaki dari Kuala Tahan (Scrivenor 1912).

  •  1906 - Jabatan Bancian mendirikan survey beacon dan kepingan besi serta menandakan ketinggian puncak gunung iaitu 7,059 kaki.

  •  1912 - Ketinggian Gunung Tahan disahkan pada 7,186 kaki oleh Scrivenor, namun kini disahkan dengan peralatan yang lebih moden pada ketinggian 7,182 kaki. Sumber : Lipatansejarah

Wassalam, Wa'allahhualam.
 

1 ulasan:

  1. admin ,ceritakan sejarah berkaitan asal usul perkembangan kuala tembeling dan bagaimana ia mendapat nama.tolonglah,saya kekurangan maklumat untuk membuat kerja kursus .saya harap admin dapat membantu saya.

    BalasPadam

Terima kasih di atas kunjungan anda ke halaman blog ini. Paparan blog lebih menarik jika anda menggunakan paparan versi website. Sebarang pertanyaan, pandangan dan cadangan. Sila email kepada pengarang. Terima kasih.