Nuffnang dan No Copy Paste

JANGAN LUPA KLIK PESANAN PENAJA PERCUMA SAHAJA

30 Apr 2016

PEMBALAKAN DI ULU TEMBELING DAN BAUKSIT DI PAHANG SATU KESILAPAN BESAR !

Jika sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui perlombongan bauksit yg tidak terkawal di Kuantan sebagai satu kesilapan, maka PEKA Pahang berpendapat, pembalakan berskala besar dan penggondolan hutan bagi tujuan perladangan di kawasan hutan tadahan air semulajadi di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang juga satu kesilapan besar!

Umumnya, pencemaran bauksit cuma memberi kesan secara langsung kpd penduduk di Daerah Kuantan, tetapi pembalakan hutan tadahan air semulajadi di Ulu Tembeling yg menjejaskan anak-anak sungai serta Sg Tembeling dan Sg Pahang telah memberi kesan kpd lebih ramai rakyat, khususnya yg tinggal di sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dari Daerah Jerantut hinggalah ke Pekan.

Justeru, PEKA Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang supaya menghentikan segera pembalakan dan penerokaan hutan di kawasan berkenaan.

Pada masa yg sama, PEKA Pahang juga menggesa Kerajaan Negeri Pahang menjalankan segera pemetaan semula dan mewartakan kawasan2 tadahan air semulajadi bagi lima sungai utama iaitu Sg Jelai, Sg Tembeling, Sg Pahang, Sg Rompin dan Sg Kuantan serta sungai-sungai yg menjadi sumber bekalan air mentah bagi loji bekalan air PAIP yg disalurkan kepada penduduk di seluruh negeri Pahang, seperti yang disarankan oleh pakar2 kualiti air negara. AKUI KESILAPAN DAN PERBETULKAN DEMI RAKYAT DAN GENERASI AKAN DATANG!. Sumber kredit :  FB PEKA PAHANG 

 “Telah nampak  fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

28 Apr 2016

SUNGAI PAHANG DI AMBANG KEMATIAN?

Mungkinkah Sungai Pahang tidak akan mampu lagi meneruskan perjalanannya sejauh 459 kilometer untuk ke destinasi terakhirnya; Laut China Selatan?

Lahir daripada alur-alur anak sungai di Banjaran Titiwangsa, yang melimpah ke Sungai Jelai dan Sungai Tembeling; iaitu dua sungai utama yang bersatu untuk membentuk sungai berkenaan, sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia dan ketiga terpanjang di negara ini dikhuatiri akan mengalami kekeringan melampau.

Merentasi hampir semua daerah di Pahang, sehinggalah ke Kuala Pahang, Sungai Pahang memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan penduduk sekelilingnya.

Antaranya untuk bekalan air, pengangkutan, perikanan, penternakan ikan air tawar, pertanian, aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Bagaimanapun, kemampuan sungai itu untuk terus berbakti kepada manusia diramalkan semakin terbatas.

Pakar kualiti air Dr. Zaki Zainudin meluahkan rasa kerisauan beliau kepada Bernama akan nasib yang dijangka menimpa Sungai Pahang sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk mengatasi masalah yang melanda nadi Darul Makmur itu.

PEMBALAKAN DAN KEMUSNAHAN KAWASAN TADAHAN AIR

Isu pembalakan, khususnya di Hulu Tembeling baru-baru ini, mendapat perhatian orang ramai. Selain hakisan yang mengeruhkan air sungai dan pemusnahan habitat hidupan semulajadi, pembalakan sebenarnya mengakibatkan natijah yang lebih teruk daripada itu.

Sungai Pahang sama seperti sungai lain di negara ini, ia terbit daripada alur-alur anak sungai dari banjaran.

Apabila air hujan terperangkap dan berkumpul di akar-akar pokok yang berfungsi sebagai penahan dan penyerap air, ia menghasilkan air yang jernih dan bersih yang kemudian mengalir ke bawah bukit sebagai anak sungai dan akhirnya melimpah ke satu titik untuk membentuk sungai yang lebih besar.

Bayangkan jika kawasan bukit itu gondol dan tandus. Air hujan akan bercampur dengan debu-debu tanah dan pasir lalu menjadi keruh dan tidak sesuai lagi untuk kegunaan manusia.

Air ini memasukki sungai bersama sedimen yang akan berkumpul di dasar sungai, sekaligus mencetekkan dan mengganggu ekosistem sungai.

Spesies ikan yang sensitif, contohnya patin dan kelah, tidak mampu untuk hidup dalam persekitaran yang tercemar.

Apabila musim panas, seperti yang melanda negara sekarang, air akan lebih mudah tersejat dan ini menyebabkan sungai lebih cepat mengering.

"Saya tengok sendiri, selepas titik pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling, air dah kering dah.

"Ini adalah kesan cuaca panas, tetapi pembalakan adalah antara faktor terbesar yang menyumbang kepada fenomena ini," kata Dr. Zaki berkongsi pengalamannya menyusur ke hulu Sungai Pahang baru-baru ini.

Menurut beliau, dipercayai aktiviti pembalakan berleluasa di kedua-dua kawasan lembangan Sungai Tembeling dan Sungai Jelai.

LADANG KELAPA SAWIT

Namun bukan kegiatan pembalakan sahaja yang merisaukan jurutera itu. Pembukaan ladang kelapa sawit seluas 10,000 hektar oleh sebuah syarikat tempatan telahpun diluluskan di lembangan Sungai Jelai.

Sebagai pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia, tidak hairanlah jika pencemaran sungai-sungai di Malaysia, khususnya di luar bandar, banyak disebabkan oleh ladang kelapa sawit.

"Banyak lembangan sungai kita sebenarnya telah ditukarkan kepada tanaman kelapa sawit.

"Inilah yang mengakibatkan fenomena teh susu di sungai-sungai di negara kita," jelas beliau.

Seperti pembalakan, ladang kelapa sawit turut mendatangkan kesan hakisan iaitu aliran sedimen ke dalam sungai.

Penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal daripada baja, pestisid dan herbisid juga akan menjejaskan kualiti air sungai.

"Aktiviti pertanian yang sedia ada pun sudah menyumbang kepada pencemaran (Sungai Pahang), ini nak tambah lagi 10,000 hektar," keluh Dr. Zaki.

PEMBINAAN EMPANGAN HIDRO

Tambahan pada dua faktor itu, Dr. Zaki turut mendedahkan bahawa terdapat dua empangan hidro yang akan beroperasi di hulu Sungai Pahang iaitu di Sungai Tekai (anak Sungai Tembeling) dan Sungai Jelai.

Beliau berkata empangan di Sungai Jelai kini sudahpun dalam pembinaan manakala bagi empangan di Sungai Tekai, Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek itu baru sahaja diluluskan.

"Sebelum empangan boleh mula beroperasi, air perlu dikumpulkan di reservoir, jadi pihak empangan akan 'block water' daripada masuk ke sungai.

"Ya, sedikit air akan tetap dialirkan, iaitu dipanggil 'environmental flow' bagi memenuhi keperluan sungai.

"Tetapi adakah yang dialirkan itu cukup untuk menampung keperluan tersebut, termasuk hidupan di dalamnya, itu masih menjadi persoalan," hurai beliau.

Tambahnya lagi proses pemenuhan reservoir di kedua-dua empangan dijangka mengambil masa dua tahun.

IMPAK KESELURUHAN

Impak daripada ketiga-tiga faktor itu, iaitu pembalakan, pertanian dan empangan hidro, dijangka akan mengakibatkan kesan yang sangat buruk kepada kelangsungan Sungai Pahang.

"Kita cuba lihat impak ini secara 'accumulative'. Sekarang sudah ada hakisan sebab pembalakan dan pertanian yang menyebabkan sungai cetek.

"Nak tambah lagi pertanian, maka tambah lagi sedimen. Sungai jadi lagi cetek.

"Pembinaan empangan pula akan kurangkan air sungai. Tapi jika pembalakan terus berlaku there will be no tree, so no water catchment. Jadi mana nak dapat air sekarang?" soal Dr.Zaki.

HENTIKAN TERUS PEMBALAKAN

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa supaya kerajaan menghentikan terus aktiviti pembalakan di seluruh negara, khususnya di Pahang.

Fenomena sungai cetek yang melanda Sungai Pahang sekarang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga tidak bersetuju bahawa fenomena itu berlaku disebabkan keadaan cuaca semata-mata.

"Jangan salahkan cuaca, El Nino dan sebagainya. Kitaran cuaca memang begini sejak dulu lagi.

"Kita mengalami semua ini kerana pembalakan yang berleluasa. Suhu naik terlalu tinggi sebab sudah tiada pokok, dan yang mengubah cuaca ini sebenarnya tangan manusia. Jangan salahkan Allah dengan berkata, dah nasib cuaca macam ini," katanya.

Shariffa Sabrina mendesak kerajaan supaya segera mengambil berat terhadap isu ini kerana ia melibatkan air yang menjadi sumber kehidupan manusia.

"Adakah suatu hari nanti kita perlu merawat Sungai Klang misalnya untuk minum? Proses merawat sahaja akan menelan kos yang tinggi.

"Oleh sebab itu hentikan terus pemberian lesen balak. Apakah kita tak boleh cari duit dengan cara lain? Hanya mereka yang berfikiran dangkal sahaja akan bergantung kepada balak untuk ekonomi," tegas beliau.

Beliau berkata tumpuan sekarang patut diberi kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan khazanah alam negara tidak terus-menerus dimusnahkan.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk lebih giat memperjuangkan isu alam sekitar seperti ini demi kepentingan negara dan generasi akan datang.

SISIPAN
Antara sungai di dunia yang mengalami kekeringan melampau ialah Sungai Colorado di Amerika Syarikat, Sungai Indus di Pakistan, Sungai Kuning di China dan Sungai Amu Darya di tengah benua Asia.

Punca utama ketandusan sungai-sungai itu adalah pengalihan aliran sungai bagi menjalankan aktiviti pertanian secara besar-besaran, selain untuk kegunaan industri, pusat bandar dan perumahan serta pembinaan empangan. - Sumber kredit :  Bernama

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

23 Apr 2016

MODUS OPERANDI PEMBALAKAN HARAM DI PAHANG

MODUS OPERANDI PEMBALAKAN HARAM (Berdasarkan soal-siasat, maklumat dalaman, perangkaan kes, perisikan dan kajian selama 30 tahun di Pahang) Ramai yg tertanya-tanya bagaimana sebesar-besar batang balak boleh dicuri dari hutan dan dibawa keluar hingga ke kilang papan? Jawapannya... kalau kerana duit semuanya boleh! Rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, bukan perkara baru dalam industri pembalakan, sebaliknya ia sudah berakar-umbi sejak bermulanya kegiatan pembalakan itu lagi!.

Sehingga kini sudah ramai pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan ditangkap, didakwa dan dijatuhi hukuman kerana kesalahan rasuah, termasuk menerima wang suapan sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap pembalak haram dan pembalak yg tidak mengikut peraturan perhutanan. Namun, lebih ramai yg terlepas walaupun umum boleh melihat sendiri kemewahan mereka yg terbabit, terutama selepas bersara.

Biasanya pembalakan haram berlaku di kawasan hutan berhampiran kawasan pembalakan yg dilesenkan kerana "menumpang lesen" adalah pra syarat untuk membawa keluar kayu balak yg ditebang curi.

Namun, ada juga kes pembalakan haram menggunakan papan tanda lesen palsu, lesen tamat tempoh dan nama pihak istana. Kes seumpama ini pernah dilaporkan dalam TV3 membabitkan ribuan tan balak yg ditebang dari Hutan Simpan Kemasul, Pahang pada bulan Ramadhan tahun 2008. Ada juga kes balak curi yg dibawa keluar dari hutan simpan menggunakan "Pas Memindah Balak" palsu atau pendua. Kes seumpama ini pernah dikesan dalam satu operasi diketuai Pengarah Perhutanan Pahang ketika itu, Datuk Che Hashim bersama TV3 di Rompin, Pahang pada tahun 2006.

FOTO: Pegawai Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Pahang menyaksikan ribuan tan kayu balak yg dicuri dari Hutan Simpan Kemasul pada bulan Ramadhan 2008. Tangkapan dibuat hasil maklumat yg disalurkan kpd Wartawan TV3 Pahang. Pembalak haram memasang papan tanda lesen palsu menggunakan nama Sultan Pahang. Sumber kredit : PEKA PAHANG

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

10 Apr 2016

BATU SAWAR PALOH HINAI PEKAN PAHANG

Hari ini 09.04.2016 penulis sempat singgah ke Kampung Batu Sawar, Paloh Hinai, Pekan, Pahang.  Sekarang musim panas dan kemarau jadi berkesempatan penulis mengambil gambar Batu Sawar yang dikaitkan dengan nama kampung tersebut. Sekiranya musim biasa difahamkan Batu Sawar ini tidak kelihatan kerana terbenam didalam sungai Pahang.
Menurut cerita mitos orang-orang tua di Kampung Batu Sawar, terdapat sebuah batu berbentuk sawar iaitu sejenis alat menangkap ikan di dalam Sungai Pahang. Para pengunjung boleh melihat sendiri batu sawar ini lebih-lebih lagi menjelang air surut. Batu ini dikatakan terkena sumpahan Sang Kelembai kerana menghalang laluannya. Batu tersebut kemudiannya digelar Batu Sawar dan akhirnya menjadi nama rasmi bagi kampung tersebut.
Maksud : Sawar dalam rujukan Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud :  penghalang yang dibuat drpd ranting kayu, duri, rotan, dll (utk menutup jalan, supaya pokok tidak dipanjat orang, dll); 2. semacam belat yg dibuat drpd ranting kayu, duri, dll (utk melorongkan binatang masuk perangkap, ikan masuk lukah, dll); menyawar memasang sawar, menghalang dgn sawar.

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

9 Apr 2016

KERAKUSAN MANUSIA MUSNAHKAN SUNGAI TEMBELING SEMAKIN KONTANG

JERANTUT: Sebulan lamanya kemarau melanda, selama itu jugalah penduduk terpaksa berdepan realiti bahawa sungai yang banyak membantu kehidupan mereka kini bakal kering-kontang.

Fenomena yang disifatkan luar biasa ini menyebabkan penduduk di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, tidak dapat lagi menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Tembeling, sebaliknya mereka terpaksa berjalan kaki.

"Selama 42 tahun, saya berada di sini, inilah situasi paling teruk," kata Maisarah Doll, 42 tahun, sambil melihat paras air Sungai Tembeling yang semakin cetek.

Anak jati Kampung Mat Daling di Ulu Tembeling itu menyifatkan fenomena ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Sungai Tembeling.

Keadaan bertambah buruk apabila kesan akibat musim kemarau ini menyaksikan sungai itu hampir kontang.

Tinjauan Astro AWANI mendapati sungai berkenaan begitu tohor sehingga menampakkan dasar sungai di beberapa kawasan.

"Sekarang pasir semakin banyak, semakin naik dan semakin tinggi. Dulu pasir tidak tinggi sebegini tetapi sekarang sudah nak menutup aliran sungai," kata seorang penduduk Zakaria Ismail.

Pengusaha bot, Hamizun Loai, pula melahirkan rasa bimbang apabila air sungai itu sudah mula menunjukkan tanda semakin surut sejak beberapa tahun lalu.
Keadaan sungai cetek menyebabkan penduduk tidak lagi perlu menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Tembeling, sebaliknya sekadar berjalan kaki.

"Air sungai ini sudah nampak kesannya dalam lima hingga enam tahun sudah. Sebelum ini ada kecetekan pernah berlaku pada sungai, tapi bukan sebegini cetek," katanya sekali gus membuktikan bahawa kemarau bukan punca utama.

Penduduk mendakwa paras sungai yang surut itu disebabkan aktiviti pembalakan tidak terkawal di kawasan tadahan air di hulu Sungai Tembeling.

"Kami di Kampung Mat Daling ini umpama padang jarak padang tekukur, gunung-ganang dan bukit-bukau, semuanya habis ditebang pihak tidak bertanggungjawab," kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Maisarah.

 Kawasan tadahan air di kaki Gunung Dulang diteroka untuk tujuan perladangan kelapa sawit.

Menurut Pensyarah Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Awang Noor Abdul Ghani, apabila berlaku pembalakan, pasir dari kawasan yang dibalak akan dihanyutkan melalui sungai, sekali gus mendap dan mencetekkan sungai.

"Jika pembalakan dilakukan di kawasan tadahan air, akibat kawasan yang ditebang dan pembukaan jalan untuk menarik keluar balak itu akan menyebabkan lumpur dan tanah di kawasan hutan dibawa masuk ke dalam sungai apabila berlaku hujan.

"Jadi hakisan ini berlarutan, ia mendatangkan kesan mendapan kepada sungai seperti yang berlaku di Sungai Tembeling," katanya. Laporan ini adalah siri pertama laporan khas "Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling". 

Ikuti siri kedua yang akan meninjau aktiviti pembalakan haram yang didakwa berlaku di hutan rizab Gunung Ais, Ulu Tembeling. Sumber kredit : http://www.astroawani.com

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

3 Apr 2016

KEINDAHAN BUKIT SELADANG JERANTUT PAHANG

Keindahan Bukit Seladang, Sungai Lekuk Jerantut. Lokasi lebih kurang 3 KM daripada Bandar Jerantut melalui jalan Benta. Ketinggian Bukit Seladang dianggarkan sekitar 165 m (541 kaki) Bukit Seladang ini menjadi tumpuan kegiatan riadah bagi penduduk setempat serta dapat menyaksikan keindahan mata hari terbit daripada bukit ini. Apa pun penulis difahamkan Bukit Seladang ini telah dimiliki sepenuhnya oleh Saudagar Cina Dato' Seri Lim Ah Chap yang amat terkenal di bandar ini. Keluasan bukit ini tidaklah diketahui. Sebagai simbolik hanya sebatang pokok asal ditinggalkan mungkin ada maksud tersendiri. Setakat ini difahamkan kawasan tersebut telah ditanam dengan pokok getah.

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

SENARAI POST TERKINI

RUANG PENGIKLANAN

JANGAN LUPA KLIK PESANAN PENAJA PERCUMA SAHAJA

ARKIB ENTRI AKU ANAK PAHANG DISINI :

CARI ARTIKEL BERKAITAN MASUKAN KATA KUNCI

Loading

WAKTU BERBUKA PUASA BAGI NEGERI PAHANG 2017 DIBAWAKAN OLEH PAIP PAHANG

KLIK GAMBAR UNTUK IMEJ LEBIH JELAS

HOME

>>KLIK KEMBALI KE HALAMAN UTAMA<<