Nuffnang dan No Copy Paste

JANGAN LUPA KLIK PESANAN PENAJA PERCUMA SAHAJA

27 Mac 2016

INFO BELULANG KULIT KERBAU SEBAGAI MENU MASAKAN

Belulang kulit kerbau ini adalah salah satu menu masakan istimewa orang Pahang biasanya proses untuk membuat belulang kulit kerbau ini. Kulit kerbau dicuci dan di jemur sehingga kering dan dikikis pada bahagian kulit asalnya dan hanya dibahagian isi kulit sahaja diambil. Apabila kulit tersebut sudah benar-benar kering (mereka) orang tua dahulu akan menyimpan kulit kerbau tersebut diatas para dapur kayu mereka.

Biasanya kulit kerbau ini akan dijadikan masakan diwaktu kesusahan kelak jika situasi sukar untuk mendapat lauk pauk dimusim tengkujuh dan seumpamanya. Kulit kerbau ini biasanya dimasak gulai lemak cili api atau gulai masam tempoyak rasanya sememang unik dan amat sedap sekali. Cara penyedianya sama sahaja jika anda membuat masakan gulai lemak daging kerbau. Cuma disini kita digantikan dengan belulang yang di potong halus. Jika berminat anda boleh sahaja dirampaikan dengan rebung, kentang atau seumpamnya.

Belulang kulit kerbau ini mungkin mudah didapati disekitar pekan sehari di Jerantut, Damak, Benta, Kuala Lipis, Dong,dan Raub. Biasanya berlulang kulit kerbau ini sudah siap diproses dan sudah dipotong halus dan sudah sedia untuk dimasak. Sebaiknya belulang tersebut rebus terlebih dahulu untuk dimasak agar berlulang tersebut benar-benar empuk dan lembut. Gambar kredit kepada Mohd Ghapar Silat Parang

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

26 Mac 2016

SUNGAI PAHANG JERANTUT LIPIS MULA CETEK DAN KERING

PARAS air di hulu Sungai Tembeling cetek dan menampakkan dasarnya berdekatan Kampung Bukit Mat Daling, Jerantut.

JERANTUT 22 Mac – Cuaca panas hampir sebulan di daerah ini dan Lipis menyebabkan sungai utama dan anak sungai mulai kering sekali gus memberi kesan terhadap pengangkutan bot penambang serta ternakan ikan dalam sangkar.

Tinjauan di daerah ini mendapati Sungai Tembeling yang terletak berdekatan Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Bantai, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi mulai kering dan menampakkan dasarnya sehingga menyekat aliran air.

Fenomena itu juga menyebabkan bot penambang terkandas dan kegiatan ternakan ikan sangkar mula berdepan risiko apabila hidupan akuakultur berkenaan mati.

Pemandu bot penambang Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin, 52, berkata, jika fenomena cuaca panas berterusan tiga bulan lagi, berkemungkinan air sungai kering dan kegiatan pengangkutan air lumpuh.

“Hal ini juga membimbangkan apabila pelancong tidak akan berkunjung ke sini dalam tempoh tersebut dan kami mungkin kehilangan pendapatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Sat di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, fenomena cuaca panas jarang dihadapi penduduk kawasan itu dan tahun ini, kejadian gelombang haba turut menjejaskan pendapatan penoreh getah selain nelayan ikan air tawar.

Sementara itu, senario yang sama berlaku di Sungai Kechau, Lipis apabila cuaca panas berterusan menyebabkan Sungai Jelai dan Sungai Kechau mulai surut dengan ketara.

Salah seorang penduduk Kampung Kechau, Mohd. Asri Jaafar, 50, berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk Kechau beralih ke sungai untuk mencari rezeki kerana hasil pertanian merosot termasuk pokok getah tidak mengeluarkan susu.

“Kita juga mencari siput-siput sedut di dalam pasir dan ikan yang tidak mampu bergerak jauh dan berlindung di celah-celah batu dan tunggul kayu kerana kepanasan,” katanya. Kredit Utusan Malaysia

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

23 Mac 2016

KEINDAHAN AIR TERJUN LATA LAYANG-LAYANG KAMPUNG PAGI JERANTUT

Penulis sekadar ingin berkongsi keindahan gambar-gambar Air Terjun di Lata Layang-layang terletak di Kampung Pagi Ulu Tembeling Jerantut, Pahang. Jika anda daripada Jerantut terus sahaja mengikut laluan darat dari Jerantut terus ke Kuala Tahan. Sejauh lebih kurang 79 KM. Untuk ke lokasi ini anda boleh menaiki bot atau laluan darat dari Kuala Tahan terus menuju ke Kampung Pagi, Jerantut. Sumber Gambar Google.

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

15 Mac 2016

INFO SYILING 1 SEN 1962 MALAYA BRITISH BORNEO

Info berkaitan dengan syiling 1 sen Malaya and British Borneo adalah keluaran pada tahun 1962. Garis pusat : diameter 17.70mm, Berat 1.94gm. Material jenis gangsa Type Bronze. Tempa minted by Royal Mint UK Jumlah keluaran (mintege)  sebanyak 45,000.00. Harga semasa kalau sekadar VF tidak lebih RM 3-7 sekeping ianya amat bergantung pada kondisi syiling tersebut.

Tentu kita tertanya juga apakah kelebihan syiling ini? Paling istimewa syiling pertama ditempa menggunakan imej tradisional tempatan nusantara iaitu keris melayu, sesuai dengan syiling 1 sen keluaran terakhir siri Malaya and British Borneo sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Dahulu syiling ini sekitar tahun 1970an amat mudah djumpai kegunaan agak terhad mungkin kurang di urusniagakan. Tapi sekarang ianya begitu sukar untuk di jumpai kecuali dibeli secara online. Sekiranya anda ada memiliki syiling 1 sen ini elok juga disimpan untuk koleksi dan tatapan generasi mendatang sebagai bahan sejarah matawang kita. Kerana matawang kita adalah warisan kita.

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

8 Mac 2016

PADANG TERBANG SUNGAI TIANG KUALA TAHAN

Hari ini 08.03.2016 penulis sempat ke Padang Terbang Sungai Tiang, Kuala Tahan serta kampung berdekatan Kampung Gol. Penulis sekadar ingin melihat apa yang dikatakan oleh mereka sebagai Padang Terbang atau dahulu disebut mereka sebagai lapangan terbang yang terdapat di kampung Sungai Tiang, Kuala Tahan ini. Gambar diatas sekadar perkongsian bersama bagi mereka yang belum pernah menjejak kaki ke Sungai Tiang, Kuala Tahan ini.

Padang Terbang ini dibina pada awal tahun 1980an. Pada anggapan orang luar atau orang luar negara ramai yang beranggapan itu ialah Airport Sungai Tiang kerana jenama Taman Negara Pahang. Sebenar tidak begitu, mungkin sekadar kegunananya untuk mendarat kapal terbang yang ringan sahaja untuk membuat kerja-kerja membaja tanaman. Padang terbang ini tanpa kawalan daripada menara sebab tiada menara kawalan disini.

Mungkin ada perancangan untuk masa hadapan Padang Terbang ini boleh dinaiktaraf sebagai Lapangan Terbang Sungai Tiang Jerantut dinaik taraf segala kemudahan dan kelengkapan sebagai sebuah airport moden serta dijadikan sebagai pintu masuk utama melalui udara ke Taman Negara Pahang.

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

4 Mac 2016

INFO SEJARAH PERKEMBANGAN BANDAR JERANTUT

 Permandangan Bandar Jerantut sekitar tahun 1960an
Jerantut dahulunya hanyalah sebuah pekan kecil terdapat beberapa deretan kedai bangunan batu dan kayu serta terdapat deretan rumah-rumah setinggan yang dibina seawal 1930an. Tercatat pada deretan kedai yang awal dibina di bandar Jerantut bermula pada seawal tahun 1937. Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" Pekan ini disebut atau dikenali  dengan nama "Simpang Empat" iaitu satu tempat dimana pertemuan diantara Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalanraya dari Kuala Lipis ke Maran dan Kuantan. Pernah suatu ketika pekan ini mendapat jolokkan bandar Cowboy. Mulai tahun 1914 nama "Simpang Empat" ditukar kepada "Jerantut". Sejarah asal nama bandar Jerantut sila klik disini : Asal nama Jerantut Perkembangan bandar Jerantut ini bermula daripada Bandar lama Jerantut seterusnya pembukaan Bandar Baru Jerantut sekitar tahun 1980an dan terus berkembangan kepada pembukaan bandar Inderapura dan dikuti dengan pembukaan puluhan taman-taman perumahan yang lainya.
 Bandar Baru Jerantut
 Bandar Baru Jerantut
Bandar Inderapura Jerantut
Sebelum diisytiharkan sebagai sebuah daerah, Jerantut termasuk di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Lipis. Pada tahun 1951, Jerantut telah ditadbir dari Kuala Lipis dan dianggap sebagai satu daerah kecil (Sub. District) dan ianya ditadbir oleh seorang Penolong Pegawai Daerah (Penolong Pemungut Hasil Tanah).

Manakala pada 1 Januari 1959, pemasyhuran Jerantut sebagai sebuah daerah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan pada tarikh tersebut juga seorang Pegawai Daerah dilantik untuk tujuan membantu mentadbir daerah ini. Maka pada tarikh itu bermulalah pembangunan Daerah Jerantut yang pada awalnya berpusat di bangunan lama (Rest House yang ada sekarang). Serta pusat perniagaan bermula di deretan kedai yang telah dibina di Bandar lama Jerantut seawal  tahun1937. Sekitar tahun 1980an Bandar Baru Jerantut telah diwujudkan dengan prasarana baru iaitu sebuah Pasar Besar Jerantut, bangunan kedai LKNP, Stesen bas dan teksi.

Apabila menjelang tahun 1990 sebuah bangunan baru telah siap dibina bagi tujuan menggantikan bangunan lama (sebelah mahkamah). Bangunan baru itu menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut dan bangunan tersebut dikenali sebagai Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan Jerantut dan dirasmikan pada 6 Ogos 1990 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Mengimbau kembali sejarah pembinaan bangunan Pejabat Daerah Jerantut ini adalah disebabkan oleh kedudukannya yang agak berselerak antara satu sama lain dengan pejabat-pejabat kerajaan yang penting.
Kompleks Pejabat Kerajaan Jerantut
Oleh itu perancangan yang dibuat pada tahun 1979 iaitu untuk membina sebuah kompleks pentadbiran kerajaan telah mencapai kata putus dan telah diluluskan.

Kompleks pentadbiran kerajaan yang baru ini telah dimulakan pembinaannya pada 4 November 1986 dan bangunan ini telah siap sepenuhnya pada 3 Julai 1989. Bangunan kompleks ini adalah setinggi dua tingkat.

Rekabentuk kompleks ini telah dicipta sendiri oleh bahagian arkitek Jabatan Kerja Raya Pahang. Ia mencerminkan senibina tempatan lantas menjadikan bangunan ini di antara kompleks pentadbiran kerajaan terawal yang dibina di Negeri Pahang. Sebagaimana yang difahamkan rekabentuk ini telah menjadi panduan asas kepada pembinaan pelbagai kompleks pentadbiran yang lain di sini di samping menjadi mercu tanda daerah ini.

Pada dasarnya pemilihan lokasi ini adalah sangat strategik disebabkan ia berhampiran dengan kawasan Bandar Jerantut yang mana ianya sudah pasti memudahkan orang awam untuk berurusan di situ.

Berikutan dengan proses ‘desentralisasi’ terdapat pelbagai jabatan dan agensi yang beroperasi di peringkat daerah. Pejabat Daerah hanya merupakan sebuah organisasi yang terdapat di dalam daerah tersebut. Walau bagaimanapun Pejabat Daerah merupakan agensi yang terkanan sekali pada peringkat tersebut. Selaras dengan kedudukan ini Pejabat Daerah diberi tanggungjawab untuk menyelaras semua jabatan dan agensi yang ada di dalam daerah.

Oleh itu, kompleks ini telah menjadi tumpuan dan pusat kepada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan. Antara jabatan yang terdapat di dalam kompleks ini adalah seperti Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut, Jabatan Kerja Raya Daerah Jerantut dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Jerantut.

Sehingga hari ini, kompleks kerajaan yang mana telah menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut ini sentiasa membuat penambahbaikan dari segi pelbagai sudut seperti dari segi struktur fizikal dan juga dari segi kemudahan yang terdapat di dalam bangunan kompleks itu sendiri yang mana ianya sejajar dengan imej sebagai salah sebuah agensi dan jabatan yang terpenting sekali di dalam daerah ini.

Setiap negeri di negara ini dibahagikan kepada beberapa kawasan yang dinamakan sebagai Daerah. Daerah merupakan peringkat pelaksanaan bagi projek pembangunan. Sebenarnya projek-projek tersebut dirancang pada peringkat pusat, tetapi pelaksanaannya adalah di peringkat daerah. Sesebuah daerah akan ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Pegawai Daerah. Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut merupakan pejabat utama di peringkat daerah Jerantut.

Di dalam pentadbiran daerah pula dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama ialah Pentadbiran Daerah yang mana mewakili sebagai pusat pentadbiran, Pentadbiran Mukim dan akhir sekali ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Pejabat Daerah juga bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan Jawatankuasa Perancangan Daerah. Kedua-dua jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh ketua pentadbiran itu sendiri iaitu Pegawai Daerah Jerantut.

Di dalam daerah pula akan dipecahkan kepada beberapa kawasan kecil yang dikenali sebagai Mukim. Pengurusan pentadbiran di setiap mukim akan diketuai seorang kakitangan kerajaan yang diberi nama Penghulu. Tugas seorang Penghulu ini adalah membantu Pejabat Daerah dan agensi kerajaan yang lain untuk melaksanakan program pembangunan dan juga projek-projek pembangunan. Tugasnya juga melibatkan penyelarasan kerja pembangunan di peringkat kampung.

Di peringkat pentadbiran yang terendah sekali di dalam pentadbiran daerah ialah peringkat kampung. Beberapa kampung akan bergabung dan akhirnya menjadi mukim. Kampung-kampung tersebut akan diketuai oleh seseorang yang dikenali sebagai Ketua Kampung. Ketua Kampung ini dilantik oleh kerajaan negeri dan mereka hendaklah bertanggungjawab terhadap segala urusan yang terdapat di dalam kampung tersebut. Mereka biasanya bertindak melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu pentadbiran daerah dalam melaksanakan program projek pembangunan. Sumber Kredit : http://pdtjerantut.pahang.gov.my

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

2 Mac 2016

LESUNG PECAH ALU TAK PATAH, ALU PATAH LESUNG TAK LUAK


Lesung merujuk kepada satu alat bagi menumbuk sesuatu bahan, biasanya bahan makanan, contohnya lada dan padi. Terdapat beberapa jenis lesung, iaitu lesung tangan dan lesung kaki. Jenis-jenis ini merujuk kepada cara ia digunakan bagi menumbuk, iaitu dengan menggunakan tangan atau kaki.

Lesung tangan biasanya terdapat dua jenis pula, iaitu jenis kecil yang biasanya diperbuat daripada batu (dipanggil lesung batu) dan jenis besar yang biasanya diperbuat daripada kayu dan digunakan secara beramai-ramai. Sementara itu, lesung kaki kebanyakannya diperbuat daripada kayu. Lesung kaki juga dikenali sebagai lesung hindik.

Penumbuk lesung biasanya dikenali sebagai alu, antan atau anak lesung. Lesung tangan, biasanya digunakan bagi persediaan makanan memasak atau membuat sambal dan seumpamanya.

Banyak sekali dalam peribahasa melayu mengaitkan lesung dan antan.
  •  Lesung mencari antan @ alu  - Perempuan mencari lelaki.
  • Antan patah, lesung hilang. - Kemalangan yang bertimpa-timpa.
  •  Bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang. - Dua orang berselisih tentang wang atau harta, orang lain (orang tengah) juga yang mendapat untung. bertelingkah berselisih faham.
  • Seperti antan pencungkil duri. -Tak mungkin dilakukan; pekerjaan yang sia-sia. (Peribahasa lain yang sama makna : Alu pencungkil duri).
  •  Bertelingkah bagai antan di lesung. - Berselisih faham di antara orang yang sama satu pekerjaan.
  •  Bagai lesung dengan antan. -Sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih-kasihan).
  •  Tergerenyeng-gerenyeng bagai anjing disua antan. -Menepi-nepi kerana hendak lari, sebab ketakutan.
  •  Kena-kena seperti santan bergula, tak kena-kena bagai antan pukul kepala. - Suatu perbuatan (perkataan) itu kalau bersalahan tafsirannya, jadi melarat; jika benar, jadi kebajikan.
Penulis tercari-cari juga apa maksud peribahasa : Lesung pecah alu tak patah dan Alu patah lesung tak luak. Gamaknya ada kemungkinan peribahasa ini ada unsur 18sx jadi penulis tidak mahu menerangkan akan maksudnya.

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

SENARAI POST TERKINI

RUANG PENGIKLANAN

JANGAN LUPA KLIK PESANAN PENAJA PERCUMA SAHAJA

ARKIB ENTRI AKU ANAK PAHANG DISINI :

CARIAN ARTIKEL

Loading

HOME

>>KLIK KEMBALI KE HALAMAN UTAMA<<