Nuffnang dan No Copy Paste

DAPATKAN INFO PERCUMA DARIPADA PENAJA KLIK IKLAN

UPDATE ENTRI TERKINI :

28 Apr 2016

SUNGAI PAHANG DI AMBANG KEMATIAN?

Mungkinkah Sungai Pahang tidak akan mampu lagi meneruskan perjalanannya sejauh 459 kilometer untuk ke destinasi terakhirnya; Laut China Selatan?

Lahir daripada alur-alur anak sungai di Banjaran Titiwangsa, yang melimpah ke Sungai Jelai dan Sungai Tembeling; iaitu dua sungai utama yang bersatu untuk membentuk sungai berkenaan, sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia dan ketiga terpanjang di negara ini dikhuatiri akan mengalami kekeringan melampau.

Merentasi hampir semua daerah di Pahang, sehinggalah ke Kuala Pahang, Sungai Pahang memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan penduduk sekelilingnya.

Antaranya untuk bekalan air, pengangkutan, perikanan, penternakan ikan air tawar, pertanian, aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Bagaimanapun, kemampuan sungai itu untuk terus berbakti kepada manusia diramalkan semakin terbatas.

Pakar kualiti air Dr. Zaki Zainudin meluahkan rasa kerisauan beliau kepada Bernama akan nasib yang dijangka menimpa Sungai Pahang sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk mengatasi masalah yang melanda nadi Darul Makmur itu.

PEMBALAKAN DAN KEMUSNAHAN KAWASAN TADAHAN AIR

Isu pembalakan, khususnya di Hulu Tembeling baru-baru ini, mendapat perhatian orang ramai. Selain hakisan yang mengeruhkan air sungai dan pemusnahan habitat hidupan semulajadi, pembalakan sebenarnya mengakibatkan natijah yang lebih teruk daripada itu.

Sungai Pahang sama seperti sungai lain di negara ini, ia terbit daripada alur-alur anak sungai dari banjaran.

Apabila air hujan terperangkap dan berkumpul di akar-akar pokok yang berfungsi sebagai penahan dan penyerap air, ia menghasilkan air yang jernih dan bersih yang kemudian mengalir ke bawah bukit sebagai anak sungai dan akhirnya melimpah ke satu titik untuk membentuk sungai yang lebih besar.

Bayangkan jika kawasan bukit itu gondol dan tandus. Air hujan akan bercampur dengan debu-debu tanah dan pasir lalu menjadi keruh dan tidak sesuai lagi untuk kegunaan manusia.

Air ini memasukki sungai bersama sedimen yang akan berkumpul di dasar sungai, sekaligus mencetekkan dan mengganggu ekosistem sungai.

Spesies ikan yang sensitif, contohnya patin dan kelah, tidak mampu untuk hidup dalam persekitaran yang tercemar.

Apabila musim panas, seperti yang melanda negara sekarang, air akan lebih mudah tersejat dan ini menyebabkan sungai lebih cepat mengering.

"Saya tengok sendiri, selepas titik pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling, air dah kering dah.

"Ini adalah kesan cuaca panas, tetapi pembalakan adalah antara faktor terbesar yang menyumbang kepada fenomena ini," kata Dr. Zaki berkongsi pengalamannya menyusur ke hulu Sungai Pahang baru-baru ini.

Menurut beliau, dipercayai aktiviti pembalakan berleluasa di kedua-dua kawasan lembangan Sungai Tembeling dan Sungai Jelai.

LADANG KELAPA SAWIT

Namun bukan kegiatan pembalakan sahaja yang merisaukan jurutera itu. Pembukaan ladang kelapa sawit seluas 10,000 hektar oleh sebuah syarikat tempatan telahpun diluluskan di lembangan Sungai Jelai.

Sebagai pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia, tidak hairanlah jika pencemaran sungai-sungai di Malaysia, khususnya di luar bandar, banyak disebabkan oleh ladang kelapa sawit.

"Banyak lembangan sungai kita sebenarnya telah ditukarkan kepada tanaman kelapa sawit.

"Inilah yang mengakibatkan fenomena teh susu di sungai-sungai di negara kita," jelas beliau.

Seperti pembalakan, ladang kelapa sawit turut mendatangkan kesan hakisan iaitu aliran sedimen ke dalam sungai.

Penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal daripada baja, pestisid dan herbisid juga akan menjejaskan kualiti air sungai.

"Aktiviti pertanian yang sedia ada pun sudah menyumbang kepada pencemaran (Sungai Pahang), ini nak tambah lagi 10,000 hektar," keluh Dr. Zaki.

PEMBINAAN EMPANGAN HIDRO

Tambahan pada dua faktor itu, Dr. Zaki turut mendedahkan bahawa terdapat dua empangan hidro yang akan beroperasi di hulu Sungai Pahang iaitu di Sungai Tekai (anak Sungai Tembeling) dan Sungai Jelai.

Beliau berkata empangan di Sungai Jelai kini sudahpun dalam pembinaan manakala bagi empangan di Sungai Tekai, Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek itu baru sahaja diluluskan.

"Sebelum empangan boleh mula beroperasi, air perlu dikumpulkan di reservoir, jadi pihak empangan akan 'block water' daripada masuk ke sungai.

"Ya, sedikit air akan tetap dialirkan, iaitu dipanggil 'environmental flow' bagi memenuhi keperluan sungai.

"Tetapi adakah yang dialirkan itu cukup untuk menampung keperluan tersebut, termasuk hidupan di dalamnya, itu masih menjadi persoalan," hurai beliau.

Tambahnya lagi proses pemenuhan reservoir di kedua-dua empangan dijangka mengambil masa dua tahun.

IMPAK KESELURUHAN

Impak daripada ketiga-tiga faktor itu, iaitu pembalakan, pertanian dan empangan hidro, dijangka akan mengakibatkan kesan yang sangat buruk kepada kelangsungan Sungai Pahang.

"Kita cuba lihat impak ini secara 'accumulative'. Sekarang sudah ada hakisan sebab pembalakan dan pertanian yang menyebabkan sungai cetek.

"Nak tambah lagi pertanian, maka tambah lagi sedimen. Sungai jadi lagi cetek.

"Pembinaan empangan pula akan kurangkan air sungai. Tapi jika pembalakan terus berlaku there will be no tree, so no water catchment. Jadi mana nak dapat air sekarang?" soal Dr.Zaki.

HENTIKAN TERUS PEMBALAKAN

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa supaya kerajaan menghentikan terus aktiviti pembalakan di seluruh negara, khususnya di Pahang.

Fenomena sungai cetek yang melanda Sungai Pahang sekarang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga tidak bersetuju bahawa fenomena itu berlaku disebabkan keadaan cuaca semata-mata.

"Jangan salahkan cuaca, El Nino dan sebagainya. Kitaran cuaca memang begini sejak dulu lagi.

"Kita mengalami semua ini kerana pembalakan yang berleluasa. Suhu naik terlalu tinggi sebab sudah tiada pokok, dan yang mengubah cuaca ini sebenarnya tangan manusia. Jangan salahkan Allah dengan berkata, dah nasib cuaca macam ini," katanya.

Shariffa Sabrina mendesak kerajaan supaya segera mengambil berat terhadap isu ini kerana ia melibatkan air yang menjadi sumber kehidupan manusia.

"Adakah suatu hari nanti kita perlu merawat Sungai Klang misalnya untuk minum? Proses merawat sahaja akan menelan kos yang tinggi.

"Oleh sebab itu hentikan terus pemberian lesen balak. Apakah kita tak boleh cari duit dengan cara lain? Hanya mereka yang berfikiran dangkal sahaja akan bergantung kepada balak untuk ekonomi," tegas beliau.

Beliau berkata tumpuan sekarang patut diberi kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan khazanah alam negara tidak terus-menerus dimusnahkan.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk lebih giat memperjuangkan isu alam sekitar seperti ini demi kepentingan negara dan generasi akan datang.

SISIPAN
Antara sungai di dunia yang mengalami kekeringan melampau ialah Sungai Colorado di Amerika Syarikat, Sungai Indus di Pakistan, Sungai Kuning di China dan Sungai Amu Darya di tengah benua Asia.

Punca utama ketandusan sungai-sungai itu adalah pengalihan aliran sungai bagi menjalankan aktiviti pertanian secara besar-besaran, selain untuk kegunaan industri, pusat bandar dan perumahan serta pembinaan empangan. - Sumber kredit :  Bernama

Sumber : AKU ANAK PAHANG
Wassalam, Wa'allahhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BLOG INFORMASI | BERITA | PENGETAHUAN | SEJARAH | TOKOH | PAHLAWAN | ADAT RESAM & KEBUDAYAAN | NUMISMATIK & MATAWANG KONGSIKAN PANDANGAN ANDA BERSAMA KAMI.

RUANG PENGIKLANAN

KLIK INFO PERCUMA DRP PENAJA IKLAN

ARKIB ENTRI AKU ANAK PAHANG DISINI :

CARIAN ARTIKEL BLOG AKU ANAK PAHANG

Loading

SEARCH GLOBAL BY GOOGLE WITH WEB

Memuatkan ...