[ UPDATE ENTRI TERKINI : AKU ANAK PAHANG ]

31 Jul 2011

KEBAIKAN DAN KHASIAT BUAH KURMA

Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis kurmanya.

Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan penghuninya kurang sihat".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Berilah makanan kurma pada wanita yang hamil sebelum dia melahirkan, sebab yang demikian itu akan menyebabkan anaknya menjadi seorang yang tabah dan bertakwa (bersih hatinya)".

Abu Abdillah a.s. bersabda: "Buah kurma adalah salah satu buah yang berasal dari syurga dan dapat mensirnakan pengaruh sihir". (Mensirnakan membawa maksud menghilangkan atau memusnah­kannya)

Abu Abdillah a.s. bersabda: "Orang yang memakan 7 buah kurma yang baik sebelum sarapan, maka pada hari itu dia tidak akan tertimpa racun, sihir dan tidak diganggu setan".

Imam Ja'far Ash-Shadiq a.s. bersabda: "Barangsiapa memakan 7 buah kurma yang baik, maka cacing-cacing yang ada di perutnya akan mati".

Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).

Kajian saintifik seluruh dunia mendapati buah kurma bukan sahaja mengandungi jumlah karbohidrat (gula) yang tinggi malahan turut mengandungi pelbagai vitamin penting seperti vitamin A, tiamin, riboflavin, niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat (yang baik untuk usus) dan bermacam-macam lagi. Kurma juga didapati mengandungi banyak garam galian lain seperti magnesium, potasium dan kalsium. Buah ini turut mengandungi kalium yang khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

Setiap 100 gram kurma kering mengandungi 50 IU vitamin A, 0.09 miligram (mg) tiamin, 0.10 mg riboflavin, 2.20 mg niasin, serta 666 mg kalium. Kesemua nutrien penting ini berfungsi membantu membebaskan tenaga yang cukup, menjaga kesihatan kulit dan saraf serta membantu fungsi jantung. Diet yang ditambah buah kurma dikatakan dapat membakar kalori berlebihan badan dengan setiap biji kurma mampu mengurangkan sebanyak 3,470 kalori.

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat dan ikhlas daripada :

Banyaknya Ganjaran Puasa di Bulan Ramadhan.


Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa Umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)

* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, serta dilakukan pada Hari Jumaat.

Oleh itu saya dan keluarga terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika ada berbuat kesalahan, yang tidak di sengaja maupun yang di sengajakan, semoga kita bersama dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insyaallah.

Justeru itu saya juga memohon dihalalkan semuanya yang termakan dan terminum dan memaafkan kami sekeluarga jika terdapat kesalahan yang disedari atau tanpa sedari kami momohon kemaafan jua.

SALAM RAMADHAN AL -MUBARAK 1432H DAN SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DARIPADA BLOG AKUANAKPAHANG

 
Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat, ikhlas daripada :

30 Jul 2011

Kaedah Penetapan Tarikh Puasa dan Hari Raya di Malaysia



KRITERIA PENETAPAN PUASA DAN HARI RAYA

1.1    Kriteria yang digunakan oleh semua negara MABIMS bagi menentukan tarikah awal puasa dan hari raya ialah berdasarkan kepada kaedah rukyah dan hisab.

1.2    Merukyah atau melihat anak bulan pada petang 29 hb Hijriah bagi menentukan samaada keesokan harinya 30 atau 1 hb. Sekiranya anak bulan kelihatan di ufuk selepas matahari terbenam maka keesokan harinya dikira awal bulan baru tetapi sekiranya tidak kelihatan maka bulan tersebut digenapkan menjadi 30 hb.

1.3    Bagi di Malaysia dan negara MABIMS sekiranya anak bulan tidak kelihatan berdasarkan kaedah rukyah maka kaedah Imkanul Rukyah akan digunakan bagi menentukan keesokan harinya 30 hb atau 1 hb.

1.4    Kaedah Imkanul Rukyah adalah berdasarkan kepada kriteria berikut:

i.    Umur anak bulan melebihi 8 jam ijtimak. (Bumi, bulan dan matahari berada segarisan ).
ii.    Ketinggian anak bulan di ufuk selepas matahari terbenam sekurangnya 2 darjah.
iii.    Jarak Lengkung di antara pusat matahari dengan pusat bulan sekurang kurangnya 3 darjah. Dimana sekiranya anak bulan pada petang 29hb memenuhi criteria Imkanul Rukyah maka keesokan harinya dikira sebagai awal bulan baru dan bulan tersebut menjadi 29 hb sahaja.

Sumber Jabatan Mufti Pahang

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen pada malam itu juga.

Tarikh mencerap anak bulan Ramadan untuk penetapan tarikh awal puasa 2011 pada 31 Julai 2011(Ahad) - Sementara Tarikh mencerap anak bulan Syawal untuk penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri 2011 pada 29 Ogos 2011. Berdasarkan kalendar islam 1432H/2011M yang telah dikeluarkan juga, tarikh awal puasa atau 1 ramadan diramalkan pada 1 Ogos 2011 manakala tarikh 1 syawal pula bersamaan 30 Ogos 2011.
Sumber : Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia

Akhir kata selamat menunaikan ibadah puasa pada semua saudara mara, sahabat handal, rakan tualan, pengunjung setia akuanakpahang, serta semua muslimin dan muslimat. Kemaafan dipohon seandainya ada salah dan silap.  

Wassalam, Wa'allahhualam.
 

29 Jul 2011

Pesanan Khidmat Masyarakat ( LEGGING)

Moralnya bagi orang perempuan yang berada diluar sana janganlah berpakaian sedemikian bukan sahaja mendedah aurat lebih buruk membonggolkan perkara yang terbonggol, meneluk perkara yang berteluk memang sumbang  :(  Entri berkaitan ada DISINI

Yang pastinya bukan lawa mana berpakaian sebegini... lebih penting jangan menambah saham dosa pada mereka yang bertanggungjawab keatas diri anda.

Pesanan khidmat masyarakat di bawa oleh akuanakpahang.

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

Hukuman Tidak Berpuasa - Menaiki Van Jenazah

 Gamaknya cantik juga kalau dituliskan sebegitu pada van tersebut - Gambar sekadar hiasan

Umat islam di negeri ini akan berhadapan dengan hukuman lebih berat jika didapati bersalah tidak berpuasa antaranya akan di tangkap daripada lokasi mereka ditangkap kerana tidak berpuasa. Sebaiknya elok juga kalau dibawa ronda-ronda satu bandar terlebih dahulu. Jika disabitkan kesalahan individu tersebut boleh didenda sebanyak RM 3,000.00 atau dua bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Satu perkara yang perlu dipandang serius kesalahan tidak berpuasa boleh dikaitkan seperti menghina agama islam itu sendiri. Perkara ini diperuntukkan mengikut sekyen 170 enakmen yang sama. Bab menghina agama ini apakah hukumnya? Sendiri tanggung sendiri jawablah  :(

Satu tindakan yang wajar!


Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

28 Jul 2011

Bulatan Pawang Nong dan Mat Kilau Jerantut

Bulatan Pawang Nong terletak di Bandar baru Inderapura berhampiran dengan Stesen bas baru di Bandar Inderapura
 Bulatan Mat Kilau terletak berhampiran dengan Balai Polis Jerantut.

Sebenar ada permintaan daripada seorang sahabat blogger klik DISINI hendak melihat bulatan Pawang Nong di Bandar Jerantut ini. Di Jerantut ini ada dua buah bulatan sahaja salah-salah lalu emboh juga sesat :)

Tahniah dan terima kasih diatas daya usaha pihak MDJ kerana telah mengabadikan serta memperingati dua tokoh yang tersohor dan terhebat di daerah ini, yang telah banyak berjasanya kepada negeri ini.

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

Senyumlah Jerantut ( Bulatan Mat Kilau)


Jerantut  kemeriahan mu
dan sinar mu sungguh bererti
Kerana cinta kita pernah bersemi 
Setelah kemarau berpanjangan

Di bandar ini...
Di Stesen keretapi
Terpahat cerita kita 
Dengan kalimat
Cinta untuk kita 
Semoga bahagia selamanya

Bila ku senandung puisi cinta
Dan Bulatan Mat Kilau
Bagai tersenyum
Dalam suka duka, bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Berganding tangan

Kita bersama
Menyusuri jalan
Ditengah bandar Jerantut
Sambil mendendangkan lagu
Lagu cinta hampa

Bila ku senandung puisi cinta
Kau... terus tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Terimakasih ku ucapkan
 kepadamu JERANTUT
Kerana kau telah menemukan
Cinta antara kami berdua.

akuanakpahang



Wassalam, Wa'allahhualam.
 

Seandainya kita ingin mentaksir.

 Gambar Ehsan Kuala Lipis daily photo

Katanya :
Paku menembusi kayu
Karat memamah paku
Ada cerita disitu yang kita terlepas pandang
Dan gagal menafsir makna.
Ubi Marchino - Kuala Lipis Daily
 |
Sewaktu gagah tanpa karat 
penuh warna berseri dan berkilat
menembusi segala yang tersurat...
sedarlah diri tiada juga siapa yang hebat
bila sampai waktu tentu berkarat
jika direnung banyak maksud tesirat
andai di renung dengan makrifat
sedarlah diri, tiada juga yang hebat
ketentuan besi pasti berkarat.
 akuanakpahang - Jerantut


Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

27 Jul 2011

Info Keladi Kemahang dan Resepi Gulai Keladi Kemahang.

"Nama Kemahang" diberi bersempena sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai keladi kemahang. Sehingga kini masih terdapat pelbagai spesis keladi di Kemahang. Keladi jenis kemahang juga terdapat di kampung berhampiran seperti  Budu, Tanjung Besar, Chat dan Peruang, Keladi kemahang boleh dibeli di pekan sehari di Benta atau di pekan sehari di Jerantut pada setiap ahad. Keunikan keladi jenis kemahang di Kemahang ialah tidak berasa gatal apabila dimakan. Sekiranya dimakan dan terasa gatal maka sahlah bukan keladi yg dipetik dari Kampung Kemahang." - Sumber dari Sinar Harian 27 Julai 2011.

Disini kita turunkan sedikit cara-cara membuat gulai keladi kemahang ini.

Bahan-bahannya:
1. Secekak keladi kemahang (macam gambo kat atas tu :)
2. Tempoyak agak2 lah 3- 4 sudu besar tak kuranglah
(biarlah kuahnya pekat sikit jangan cair sangat lecas laa pulak :)
3. Lada kecik @ cili api (nak pedas isi banyak-banyak jangan melehet sudah)
4. Kunyit hidup satu inci kunyit serbuk tidak sesuai :)
5. Daum kesum wajib ada tak ada kurang piaw :)
6. Bunga kantan ( pilihanlah jika ada)
7. Air
8. Garam
9. Sekiranya tempoyak tak berapa masam boleh tambah asam keping sesekeping :)
10. Sedikit gula putih sebagai perisa bahan perasa lain tidak digalakan :)

Cara2 membuatnya:

1. Tumbuk lada kunyit....kalau keladi panjang sangat potong separuh...pastu campur semua bahan di atas dalam periuk tambah air sehingga ampuh keladi. Ketika memasak periuk hendaklah di tutup dengan tudungnya...JANGAN dikacau-kacau atau di timbuk-timbuk atau digode-gode (macam buat gulai lemok pulak) ......tunggu sampai masak sehingga keladi tadi menjadi lembut  atau sudah boleh di putuskan dengan sudu. Bolehlah ditutupkan apinya.

p/s: Biasa kalau keladi itu gatal payah boleh putusnya. Untuk lebih sedap gulai keladi ini tambahlah jering semai dipotong-potongkan @ petai,terung, terung manggor (pipit) atau terung telunjuk atau campur keledek sahaja best juga.. Tips lainnya campokan setengah cancer tea minyak masak... petua ini bagi mengelakan keladi itu gatal ....sedapnya jangan citer kata dek orang tu :) . Makan bersama nasi yang panas-panas :)

Selamat mencube :)


Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

Asal-Usul Nama Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang

Kampung Ulu Cheka yang terletak di daerah Jerantut. Jarak perjalanannya lebih kurang 30km daripada bandar Jerantut melalui jalan Jerantut - Benta, anda akan menemui Pekan Damak sebelum masuk ke simpang kampung Ulu Cheka, Jerantut. Bila menyebut sahaja nama Kampung Ulu Cheka ini ianya agak sinonim dengan Pawang DiRaja Pawang Nong atau nama penuh beliau Haji Nong bin Santan, dilahirkan di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta, Kuala Lipis pada tahun 1874.

Menurut cerita beliau mempunyai dua isteri, pertama bernama Palam Mat Sama, dengan memperolehi lapan anak lelaki,iaitu empat lelaki dan empat perempuan. Isteri kedua bernama Hajjah Halimah Mk Long dengan mendapat tiga orang anak iaitu satu lelaki dua perempuan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1977 ( pada usia 103) di Kampung Ulu Cheka.

Sejarah awal pembukaan kampung Ulu Cheka ini ada pendapat mengatakan seawalnya lagi sebelum Pawang Nong, ini adalah pendapat sesetengah daripada mereka yang lain, penulis tidak dapat untuk mengatakan kebenarannya. Namun tidak dapat tidak, kerana kehebatan Pawang Nong itu sendiri telah menonjolkan nama kampung Ulu Cheka ini. Bolehlah di katakan kampung Ulu Cheka ini amat sinonim dengan Pawang Nong itu sendiri. 

Mitos - Asal usul nama kampung Ulu Cheka ini yang pernah didengar oleh penulis secara lisan daripada orang-orang tua terdahulu asalnya daripada perkataan “cheke” @ “chike” maksudnya suatu keadaan dimana seseorang itu mengalami muntah-muntah akibat tersalah makan, akibat daripada makanan yang telah bercampur baul dengan makanan yang lain, yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami muntah-muntah  yang disebut "cheke @ chike".

Diceritakan juga mungkin sewaktu pembukaan kampung Ulu Cheka ini  ramai diantara mereka telah mengalami muntah-muntah disebabkan alahan permakanan tersebut yang di sebut “chike”  dalam loghat tempatan. Namun bila ditulis semula didalam ejaan bahasa melayu menjadi CHEKA. Mungkin lantaran daripada peristiwa itu nama chike @ cheke ini diabadikan. Disebabkan kampung ini agak jauh sedikit masuk kependalaman daripada jalan utama Jerantut – Benta, maka ianya lebih sesuai di sebut ULU CHEKA.

Kisah asal usul nama kampung Ulu Cheka ini tidak dapat di pastikan sebenar,  kerana kisah ini hanya dicerita secara lisan oleh orang-orang tua terdahulu kepada penulis :) Sekiranya anda ada pendapat dan kisah yang lain boleh di kongsikan sama.

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

26 Jul 2011

Apakah itu Balai Gambang?

Contoh Balai Gambang

Gambang atau Balai Gambang jika dirujuk daripada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud balai yang berada di atas air untuk berangin atau mandi, rumah diatas air,  rumah atau bangunan yang dibuat khas untuk sesuatu tujuan, digunakan utk mengangkut orang, barang, menyeberangi sungai dan sebagainya atau hari ini lebih mudah diibaratkan sebagai perahu atau sampan berhias.

Disuatu ketika dahulu Balai Gambang ini sering digunakan oleh Sultan dan Pembesar Negeri sebagai pengangkutan di air jika membuat lawatan sekiranya menggunakan laluan sungai, ianya cukup popular juga di Pahang. Tidak banyak info dan kisah yang dapat dikaitkan dengan kisah Balai Gambang di Pahang ini.

Cuma ada satu kisah yang penah dicerita secara lisan oleh orang tua dahulu. Bagaimana Balai Gambang yang di naiki oleh Sultan pernah hanyut ke tengah sungai lalu ianya di tarik oleh seorang yang hebat di kampung tersebut menggunakan rotan manar sambil berenang dan melilit rotan tersebut ditangannya. Kisah ini terlakar kisahnya di sebuah daerah di Kuala Lipis.

Balai Gambang juga tidak hanya merujuk pada Balai Polis dekat Gambang, Kuantan Pahang :) Namun setidak-tidaknya kita dan jenerasi hari ini tahu juga apakah itu Balai Gambang :)


Wassalam, Wa'allahhualam.
 

25 Jul 2011

Disebalik kemeriahan penjual derian di Jerantut

 Gambar di hadapan Pasar Besar Jerantut - By Jijoe Azizul

Salam semua, sekarang musim derian kat mana-mana pun terdapat orang yang menjual derian nie... tidak ketinggalan di bandar kome (kami) disini, memang banyak sekali orang yang menjual derian namun terkadang jauh disudut hati terkenang juga didalam ingatan... sewaktu waktu dahulu sekitar tahun 1970an bangsa kita yang popular atau yang memonopoli menjual derian pada bangsa lain... namun hari ini bangsa kita pulak yang membeli derian dengan demenya ( dia orang ) kenapa boleh jadi gitu?

Zaman kegemilangan orang melayu menjual derian pada bangsa lain sudah berlalu... :( Moralnya orang melayu kita kena berfikir juge sampai bila situasi sedemikian harus berlaku? :( disini kawan (saya) menyeru juga pada mereka yang mempunyai tanah pusaka atau tanah sendiri... moh lah kita pakat-pakat nanam derian untuk anak cucu kita nanti... yang pastinya kita juga tidak merasa buah derian seandainya tok nenek kita dahulu tidak menanam derian utk kita...  walaupun terkadang deme pun tahu deme (dia orang)  juga tak sempat nak merasa namun kasih sayang untuk anak cucu tetap diutamakan :(

Semoga ada kesedaran buat bangsa kita !


Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

23 Jul 2011

GAMBAR MENTERI-MENTERI BESAR PAHANG BERMULA 1948 SEHNGGA SEKARANG

MENTERI BESAR PAHANG YANG PERTAMA
 Dato' Setia Wangsa Sir Mahmud Bin Mat MCS., OBE
01.02.1948 hingga 01.02.1951
MENTERI BESAR PAHANG YANG KEDUA
 Y.A.M Tengku Panglima Perang Tengku Mohamad Ibni Al Marhum Sultan Ahmad CBE 01.02.1951  hingga 01.02.1955
 MENTERI BESAR PAHANG YANG KETIGA
Orang Kaya Indera Shah Bandar Tun Haji Abd Razak Bin Dato' Husain MCS
01.02.1955 hingga 15.06.1955
  ( Menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Kedua)
MENTERI BESAR PAHANG YANG KEEMPAT
 Y.A.M Tengku Panglima Perang Tengku Mohamad Ibni Al Marhum Sultan Ahmad CBE 15.06.1955 hingga 08.01.1957

MENTERI BESAR PAHANG YANG KELIMA
Dato' Kurnia Paduka Raja Abdullah Bin Tok Muda Ibrahim PKT., MCS.
09.01.1957 hingga 18.07.1959
 MENTERI BESAR PAHANG YANG KEENAM
 Orang Kaya Indera Pahlawan Wan Abdul Aziz Bin Engku Haji Abdullah
18.07.1959 hingga 05.05.1964
 MENTERI BESAR PAHANG YANG KETUJUH
 Tok Bentara Raja Tan Sri Hj Yahya Bin Haji Mohd Seth
SIMP., PSM., JSM., PJK., JP.
05.05.1964 hingga 31.08.1972
 MENTERI BESAR PAHANG YANG KELAPAN
 Dato' Kurnia Bistari Haji Abdul Aziz Bin Ahmad
DIMP., AMN., JP.
01.09.1972 hingga 31.08.1974
MENTERI BESAR PAHANG YANG KESEMBILAN
 Dato' Sri Mohamad Bin Jusoh
SSAP., SIMP., DIMP., JSM., AMN.
01.09.1974 hingga 18.07.1978
 MENTERI BESAR PAHANG YANG KESEPULUH
 Dato' Haji Rahim Bin Abu Bakar
DSAP., SMP., AMN.
18.07.1978 hingga 06.11.1981
MENTERI BESAR PAHANG YANG KESEBELAS
 Dato' Haji Abdul Rashid Bin Haji Abdul Rahman
SIMP., DSAP., SMP., KMN., PPN., PJK.
07.11.1981 hingga 04.05.1982

MENTERI BESAR PAHANG YANG KEDUA BELAS
 Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abd Razak
SSAP., AMN., PPN., PJK.
04.05.1982 hingga 14.08.1986
(Sekarang menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Keenam)

MENTERI BESAR PAHANG YANG KETIGA BELAS
Tan Sri Haji Mohd Khalil Bin Yaakob
SSAP., SIMP., PSM., DSAP., JSM., SMP.
14.08.1986 hingga 22.05.1999
 (Sekarang menjadi Yang Di Pertua Negeri Melaka)
MENTERI BESAR PAHANG YANG KEEMPAT BELAS
 YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob
SSAP., DSAP., DGSM.
25.05.1995 hingga sekarang.

Semoga menjadi rujukan dan pengetahuan untuk jenarasi muda hari ini. Sesungguhnya bumi Pahang yang  bertuah ini menyimpan berbagai khazanah yang amat berharga untuk kita semua. Semoga jasa dan pengorbanan mereka serta pahlawan terdahulunya tidak dilupakan juga.

Sumber Rujukan : www.pahang.gov.my by akuanakpahang

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

22 Jul 2011

Asal Usul Nama Bandar-Bandar di Pahang

Salam semua, hari ini jom kita selidik sedikit akan asal usul nama bandar-bandar di Pahang ini. Kerana setiap bandar tersebut mendapat namanya melalui satu peristiwa dan lain-lain hal yang berkaitan, dimana nama itu dikaitkan. Seperti nama asal Bandar JERANTUT anda boleh rujuk >> DISINI

KUANTAN - Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai sebuah penempatan. Kewujudan Kuantan ini telah disentuh oleh Abdullah Munsyi pada tahun 1851/52 seperti berikut:
Kampung Orang Kuantan, Kuantan
"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari.........." (1)

Pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali dengan nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekarang . Ia telah dibuka oleh Haji Senik (2) dan pengikut-pengikutnya dalam tahun 1850an.Nama Teruntum ini dikatakan berasal dari pokok Teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu.

Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan paya yang terletak di tapak hospital sekarang disamping menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti bahawa kawasan tersebut telah dijadikan penempatan ialah Perkuburan Cik Timah (3) berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang. Tapak Perkuburan Cik Timah.

Selain dari itu dikesahkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang Melayu dari daerah Sumatera. Mereka diketuai oleh Encik Besar (4). Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama Kampung Orang Kuantan dan lama kelamaan panggilan ini di pendekkan kepada perkataan "Kuantan" dan kekal sehingga ke hari ini.

TEMERLOH - diceritakan serba sedikit mengenai sejarah Bandar Temerloh. Menurut hikayat melayu dahulukala, Temerloh bukan sahaja tempat yang terakhir bagi Batin Seridun, dimana beliau menguasai kawasan antara Gunung Senyum di sebelah barat dan Bukit Gebuk di sebelah timur. Jesteru itu, nama ini telah dipilih oleh Batin Seridun bagi menamakan salah sebuah daerah di dalam negeri Pahang sejak daerah ini ditubuhkan mulai 1 Julai 1889.

Menurut cerita Batin Seridun, pada suatu hari pada zaman dahulu, anak raja dari Minangkabau iaitu Sujudbilang dan abang-abangnya telah meninggalkan Minangkabau. Mereka berlayar ke Daik dan dari sana meraka ke Pahang. Setelah diperkenankan oleh Bendahara Pahang, mereka menaiki sebuah perahu galah lalu menyusur sepanjang Sungai Pahang. Setelah beberapa lama perahu itu mudik, maka perahu yang membawa rombongan itu telah sampai di tempat yang dikenali sebagai Sentang Mukim Kertau dalam daerah Maran. Mendengarkan ramai orang di darat, maka mereka pun singgah dan naik ke tebing untuk melihat keadaan sekeliling.

Malangnya, kehadiran Sujudbilang dan abang-abangnya tidak diterima oleh penduduk di situ. Sehubung dengan itu, Sujudbilang dan abang-abangnya cuba berbaik-baik dengan orang asli yang berada di sekitar sungai iaitu di kiri dan kanan Sungai Pahang. Dalam pada itu, Sujudbilang berkata kepada abang-abangnya, " Ramah tamah pangkal, modal budi bahawa penambat hati pembuka manis, selera nafsu." Abang-abangnya faham akan maksud Sujudbilang tersebut.

Maka mulai hari itu, di mana ada kampung orang asli pasti mereka akan singgah. Mereka memberi garam dan tembakau kepada orang-orang asli tersebut. Begitulah cara mereka menambat hati orang-orang asli yang ditemui. Sesudahnya mereka sampai di pengkalan Batin Seridun. Apabila mereka tiba di sana, perahu ditambat maka Sujudbilang dan abang-abangnya naik ke darat membawa garam dan tembakau. Jesteru itu, perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi semakin erat dan kukuh. Ini dapat dijelaskan melalui situasi dimana wujudnya persepakatan antara kedua-duanya iaitu mereka bersama-sama keluar pada awal pagi dan pulang lewat petang dengan membawa balik barang-barang makanan.

Pada waktu malam pula, mereka tidur meniarap di atas tanah yang telah diatur daun-daun kering sebagai alas tidur mengelilingi unggun api. Manakala kaum perempuan ditempatkan di suatu tempat khas yang berasingan dengan kaum lelaki. Dalam ramai-ramai itu cuma anak perempuan tok batin yang tidak mahu melelapkan mata kalau tempat tidurnya tidak beralas.

Mengikut cerita perkataan tidur dalam bahasa orang asli ialah "mereloh". Maka tempat mereka tidur beramai-ramai itu dibahasakan sebagai tempat "mereloh". Oleh itu, Sujudbilang dan abang-abangnya memanggil tempat orang asli itu tidur dengan "mereloh".Oleh kerana perkataan tempat "mereloh" itu panjang, maka ia dipendekkan kepada Temerloh supaya lebih senang menyebutnya. Itulah asalnya tempat yang dipanggil Temerloh dan Sungai Temerloh. Perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi lebih erat apabila Sujudbilang berkahwin dengan anak Batin Seridun yang bernama Bakoi. Dengan perkahwinan itu juga telah menyebabkan Batin Seridun dan orang-orangnya telah diISLAMkan oleh Sujudbilang. Peristiwa itu juga dikatakan telah mengembangkan agama ISLAM di Pahang Tengah.

Sehubung dengan itu, pada 1 Julai 1889 J.P Roger, Residen British yang pertama mulai menjalankan tugasnya sebagai Residen British di Pahang. Beliau juga telah membahagikan Pahang kepada enam kawasan pentadbiran iaitu daerah Pekan, Rompin, Kuala Pahang, Kuantan, Temerloh dan Hulu Pahang. Ini bermakna tempat tinggal Batin Seridun yang diberi kuasa kepada Sujudbilang telah dipilih sebagai nama salah sebuah daerah di Pahang iaitu Temerloh. Pada masa itu bandarnya dikenali sebagai Kuala Semantan. Kuala Semantan telah ditukar kepada Temerloh semenjak bandar baru di barat bandar Kuala Semantan dibuka dalam tahun 1898.

BERA - mengambil sempena nama tasik, iaitu Tasik Bera selain nama Bera di perolehi melalui sumber masyarakat orang asli semelai iaitu berasal dari nama “Reba” (semak samun). Khabarnya ada satu pokok tua yang ganjil yang tinggi dan luarbiasa besarnya telah tumbang ke tasik ini dahan dan ranting yang terbenam itu menyebabkan tumbulah “reba” dengan banyaknya. Lalu sempena nama “reba” atau dalam bahasa orang asli di sebut “Bera”

KUALA LIPIS - Cerita pertama mengatakan bahawa nama Kuala Lipis berasal dari sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak terdapat di situ pada masa dahulu. Tumbuhan tersebut ialah "serau lipis" yang merupakan tumbuhan memanjat dan berbunga putih.

Menurut cerita kedua, nama Kuala Lipis berasal daripada perkataan ‘lepas’. Dahulu, sungai adalah alat perhubungan yang terpenting bagi masyarakat Melayu. Sungai Lipis dan Sungai Jelai membolehkan penduduk kampong di sepanjang sungai tersebut ‘lepas’ ke sana ke mari. Maksudnya, mereka bebas untuk ke mana-mana.

Jadi, apabila mereka berhajat untuk pergi ke bandar, mereka berkata; ‘Keh nok ke Kolepas (Kuala Lepas)’. Namun lama-kelamaan perkataan ‘lepas’ itu bertukar menjadi ‘lipis’ dan bandar itu pun dikenali sebagai Kuala Lipis atau Kolepih mengikut loghat orang-orang Kuala Lipis.

MARAN -  Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit. Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).

Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai 'Maran' atau 'Sahabat' serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran. Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.

PEKAN - Mengikut pendapat orang-orang tua, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang dipanggil Bunga Pekan yang banyak tumbuh menjalar di tebing-tebing Sungai Pahang. Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.

RAUB -  Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).

Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya, hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".

Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya, di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Pasir terdapat di kiri dan kanan tebatan itu serta kelihatan amat bersih. Kedua dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya

Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "RAUP" sedangkan ejaan sekarang adalah "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan "RAUB" dari "RAUP".

BENTONG - Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut. Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung” (ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung” menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung” bertukar menjadi Bentong.

ROMPIN - Kuala Rompin asalnya adalah sebuah perkampungan nelayan. Sejarah namanya dikaitkan dengan sebatang pokok. Pada masa dahulu banyak pokok ru atau cemara tumbuh sepanjang pantai daerah Rompin. Antara pokok ru yang banyak itu, ada sebatang pokok ru yang besar dan tinggi. Yang ganjilnya ialah batang pokok ru itu ramping di bahagian tengahnya.

Hal ini cukup menghairankan penduduk tempatan dan cerita ini sering menjadi buah mulut mereka pada setiap masa. Ada yang menganggap keganjilan itu sesuai dijadikan penempatan. Semenjak daripada itu tempat itu dikenali dengan nama Ru Ramping. Oleh sebab nama itu panjang, akhirnya penduduk tempatan memendekkannya kepada Rumping. Seterusnya dialek tempatan menyebabkan perkataan Rumping menjadi atau disebut Rumpin tetapi dieja Rompin.

Cerita kedua berkisar kepada seorang lelaki misteri yang datang ke tapak bandar Kuala Rompin dan tinggal di bawah pokok ru itu. Lelaki itu tidak dikenali, tidak banyak bercakap dan tidak diketahui asal-usulnya. Pada mulanya dia berdagang, kemudian mengambil keputusan untuk tinggal di situ. Dia mendirikan sebuah pondok kecil di bawah pokok ru yang besar dan tinggi itu. Penduduk tempatan memanggilnya Riffin. Pada sesetengah orang yang berkunjung menganggap Riffin sebagai keramat. Penduduk tempatan memanggil kawasan pondok Riffin itu sebagai Ruffin. Kesan pengaruh dialek tempatan, sebutan Ruffin bertukar menjadi Rumpin. Rumpin dieja sebagai Rompin.

BANDAR TUN RAZAK (JENGKA) -  Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:

Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak behampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.

Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantara sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.

Sumber di rujuk sebahagianya daripada orang-orang tua terdahulu, daripada  halaman web tertentu, Google dan daripada pelbagai sumber By : akuanakpahang

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :

20 Jul 2011

SEJARAH KESULTANAN PAHANG DARI DINASTI BENDAHARA

BENDAHARA SRIWA RAJA PAHANG (1863-1882)
Bendahara Wan Ahmad Ibni Bendahara Wan Ali

SULTAN PAHANG I (1882-1914)
Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah ibni Almarhum Bendahara Wan Ali

Pemerintahan Bendahara di Negeri Pahang bermula dengan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan berakhir apabila Bendahara Tun (Wan) Ahmad ibni Almarhum Bendahara Wan Ali diisytihar sebagai Sultan. Keturunan Bendahara berjaya menjadi Sultan akhirnya adalah akibat daripada pepecahan semasa pemerintahan Bendahara Ali, di mana kerajaan Johor-Pahang mulai berpecah antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis serta kewujudan kuasa Inggeris-Belanda di Kepulauan Melayu. Justeru kerana itu, Bendahara Ali menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah pada tahun 1819 dan Temenggong pula berkuasa di Johor.

Bendahara Tun (Wan) Ali yang menggantikan ayahandanya Marhum Koris dalam tahun 1806, telah mangkat dalam tahun 1857 di Kampung Lamir, Pahang Tua. Puteranya Tun Ahmad bersemayam di Pulau Maulana. Tidak berapa lama selepas itu berlakulah perbalahan antara Tun Ahmad dengan Tun Mutakhir, kekandanya. Perang itu dikenali sebagai 'Perang Saudara'. Tun Ahmad akhirnya berjaya menewaskan kekandanya apabila hulubalang-hulubalangnya di bawah pimpinan Panglima Kakap Bahaman telah menewaskan kubu Tun Mutakhir. Tun Ahmad diisytihar sebagai Bendahara dan berpindah dari Pulau Maulana ke Kuala Sungai Parit yang kini dikenali dengan nama Kampung Padang Polo.
Sultan dan hulubalang-hulubalangnya.

Pada tahun 1881, jurutulis kepada Bendahara Ahmad, Encik Abdullah bin Hassan yang dikenali sebagai Encik Dollah Tulis dengan persetujuan Bendahara, telah meminda cap iaitu daripada 'Bendahara' kepada 'Sultan'. Atas sebab itu, pada 6 Ogos 1882, Tun Ahmad diisytihar sebagai Sultan Ahmad. Manakala pada 12 Disember 1884, Sultan Ahmad telah ditabalkan sebagai Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Dari tarikh itu juga anakanda-anakanda baginda dinaiktaraf kepada Tengku manakala isteri baginda, Cik Puan Bongsu kepada Tengku Ampuan.

Apabila Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat pada 9 Mei 1914, Yang Mulia Tengku Besar diisytiharkan sebagai Sultan. Baginda pula mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada malam Selasa 19 Jun 1917. Tempat baginda diganti oleh adinda baginda, Yang Mulia Tengku Abdullah yang kemudiannya ditabal dengan gelaran Al-Mu’tasim Billah Al-Sultan Abdullah.

Baginda Sultan Abdullah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya ialah Yang Mulia Tengku Abu Bakar. Dalam tahun 1925, Tengku Abu Bakar dikahwinkan dengan Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Alang Iskandar Shah, Perak. Tidak berapa lama selepas perkahwinan Diraja itu dilangsungkan, Sultan Alang Iskandar Shah telah berunding dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Inggeris supaya Sultan Abu Bakar dilantik sebagai ‘ganti raja’ menggantikan keputusan yang diambil semasa Yang Mulia Tengku Mahmud diisytiharkan sebagai Tengku Besar .

Setelah beberapa lama, dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Sir Hugh Clifford, kerajaan Inggeris telah bersetuju supaya Putera Sulung Sultan yang memerintah dilantik sebagai Pengganti Raja, dengan gelaran Tengku Mahkota. Maka pada 10 Jun 1930, Yang Mulia Tengku Abu Bakar telah ditabal sebagai Tengku Mahkota Pahang yang pertama. Dengan usaha Pesuruhjaya Tinggi C. Clement, kerajaan Inggeris telah bersetuju agar putera Sultan yang kedua dilantik sebagai ‘Tengku Arif Bendahara’ dan putera ketiga sebagai ‘Tengku Arif Temenggong’.

Baginda Sultan Abdullah mangkat pada pukul 8.25 malam Rabu. 22 Jun 1932. Sebelum jenazah Almarhum meninggalkan Istana Kuning, Yang Teramat Mulia Tengku Abu Bakar telah diisytihar sebagai Sultan Pahang. Baginda ditabal dengan gelaran Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933. Baginda Sultan Abu Bakar mangkat pada pukul 12.45 pagi, Ahad 5 Mei, 1974 setelah 42 tahun berada di atas takhta kerajaan negeri Pahang. Maka dengan itu, Yang Teramat Mulia Tengku Haji Ahmad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 7hb Mei 1974 sehingga ke hari ini.

Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah

Sumber : Google

Wassalam, Wa'allahhualam. Salam hormat daripada :
 

KLIK PERCUMA DAPATKAN INFO SELANJUTNYA.

KLIK DAN DAPATKAN INFO SELANJUTNYA!
Temui Kami di Facebook Group Warna Warni Jerantut

SENARAI ENTRI TERKINI DAN POPULAR :

ARKIB ENTRY BLOG AKU ANAK PAHANG

KOMEN TERKINI

CARIAN ARTIKEL BLOG AKU ANAK PAHANG

Loading